Sabtu, 18 March 2017 | 12:09am

Aiman masih sayangkan Fathia

KUALA LUMPUR: Pelakon, Aiman Hakim Ridza, 28, mengakui masih sayangkan bekas kekasih yang juga seorang aktres, Nur Fathia Abdul Latiff, 30, walaupun ikatan cinta antara mereka telah berakhir lebih setahun lalu.

Begitupun, katanya, perasaan sayang yang disimpan terhadap wanita terbabit kini lebih kepada seorang kawan.

AIMAN kini masih belum menemui pengganti Fathia selepas ikatan cinta mereka terlerai tahun lalu. - Foto Aziah Azmee
AIMAN kini masih belum menemui pengganti Fathia selepas ikatan cinta mereka terlerai tahun lalu. - Foto Aziah Azmee

Kata pelakon Vanila Cokat dan Isteri Separuh Masa, yang berkasih dengan Fathia selama hampir empat tahun, mereka tetap berkawan walaupun tidak serapat dulu.

"Kami masih berkawan. Adalah sekali kami bertemu selepas putus cinta. Bagaimanapun, kami selalu juga berborak dan bertanya khabar menerusi telefon.

"Saya masih menyayanginya sebagai kawan. Saya tetap mengambil berat mengenainya. Bagi saya, Fathia ialah wanita yang cukup sempurna. Saya belajar banyak perkara mengenai kematangan hidup dengannya. Saya tidak akan berdiri teguh seperti hari ini, jika tiada Fathia.

"Saya boleh anggap pengalaman percintaan bersamanya sesuatu yang sangat manis, Fathia banyak membuka minda dan berkongsi pengalaman hidup dengan saya," katanya kepada BH Plus.

AIMAN bakal muncul dengan filem pertama lakonannya, Kimchi Untuk Awak, yang menjengah pawagam pada 30 Mac ini. - Foto Aziah Azmee
AIMAN bakal muncul dengan filem pertama lakonannya, Kimchi Untuk Awak, yang menjengah pawagam pada 30 Mac ini. - Foto Aziah Azmee

Anak kelahiran Johor Bahru itu mengakui beliau kecewa dengan perpisahan itu, namun menerimanya sebagai takdir.

"Sampai hari ini pun, saya belum berupaya melepas dan memulihkan perasaan saya sepenuhnya.

"Saya memang tidak buat apa-apa kenyataan selepas putus dengan Fathia kerana saya menghormati keputusan masing-masing. Paling penting, saya menghormati Fathia.

"Saya rasa tidak perlulah orang luar tahu apa yang berlaku, cukup sekadar kami berdua. Saya juga perlu menjaga hati keluarga saya dan Fathia. Jadi, biarlah kisah cinta kami disimpan di lubuk hati paling dalam," katanya.

AIMAN mengakui masih sayangkan Fathia, namun hanya sebagai sahabat. - Foto Aziah Azmee
AIMAN mengakui masih sayangkan Fathia, namun hanya sebagai sahabat. - Foto Aziah Azmee

Bukan salah Ayda

Aiman turut menafikan gosip kononnya pelakon dan penyanyi, Ayda Jebat, menjadi orang ketiga yang menyebabkan hubungannya dengan Fathia terlerai.

"Saya amat kecewa apabila gosip itu bertebaran. Saya dan Ayda rapat sebagai teman artis, kami juga selalu berganding bersama. Ayda seorang profesional.

"Saya mahu menegaskan saya dan Fathia putus cinta tiada kena mengena dengan Ayda atau sesiapapun.

"Apabila cerita tidak benar ini menjadi bahan mulut, sedikit sebanyak ada yang percaya. Saya rasa tidak adil Ayda dipersalahkan dan mujur, Ayda juga tidak melatah atau bengang dengan saya," katanya.

AIMAN Hakim Ridza. - Foto Aziah Azmee
AIMAN Hakim Ridza. - Foto Aziah Azmee

Tidak jauhi media

Aiman juga berkata, dia tidak pernah menjauhi media disebabkan kisah cinta yang tidak kesampaian.

"Saya masih aktif berlakon, tetapi hanya telefilem pada waktu itu. Sebenarnya, saya menjalani dua kali pembedahan mata pada tahun lalu.

"Ada ketumbuhan seperti ketumbit dalam mata saya. Ia tidak bernanah, tetapi semakin membesar. Jadi, saya terpaksa berehat hampir tiga bulan. Mungkin sebab itulah ada yang beranggapan saya melarikan diri," katanya.

Artis Baharu Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular BH 2012 itu berkata, dia memegang prinsip jika tiada produk baharu, tiada keperluan untuknya muncul dalam acara hiburan mahupun memenuhi sesi fotografi.

"Jujurnya, saya lebih selesa menjadi artis saja, berbanding selebriti yang hidup dalam kegemerlapan.

"Apabila tidak berlakon, saya akan melakukan perkara lain yang tiada kena mengena dengan industri hiburan. Minat saya adalah bermain bola, bercuti, mendaki, berbasikal dan apa saja aktiviti lasak," katanya.

Akui Aiman, selepas perpisahan terbabit, dia masih sendirian sehingga hari ini.

"Saya tidak terbuka hati untuk bercinta mahupun mencari calon, terfikir pun tidak!

"Apabila usia mencecah 28 tahun, saya fikir banyak benda yang belum saya terokai. Saya mengimpikan dapat menjelajah seluruh dunia," katanya.

Aiman bakal muncul dengan filem pertama lakonannya, Kimchi Untuk Awak, yang menjengah pawagam pada 30 Mac ini.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X