Sabtu, 18 March 2017 | 7:12am
68 bungkusan berisi air ketum yang dirampas AADK Perlis di Taman Wang Kelian, di Padang Besar, semalam. - Foto ihsan AADK

6 penagih, 4 warga Thai ditahan AADK


AADK Perlis dengan kerjasama AKSEM dan JPJ menjalankan operasi bersepadu di Pos Kawalan AKSEM Sungai Chuchuh, di Padang Besar, semalam.

PADANG BESAR: Seramai enam penagih termasuk empat warga Thailand ditahan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Perlis melalui dua operasi berasingan selepas disyaki positif syabu di Sungai Chuchuh dan Wang Kelian, di sini, semalam.

Empat warga Thailand berusia 20 hingga 50 tahun itu ditahan dalam serbuan di Taman Wang Kelian, manakala dua lagi penagih ditahan di Pos Kawalan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) di Sungai Chuchuh, semalam.

Pengarah AADK Perlis, Azizah Ahmad, dalam operasi pertama di Taman Wang Kelian, pihaknya bersama polis dan AKSEM menyerbu sebuah rumah yang dipercayai markas warga asing mengambil dadah.

"Ketika serbuan sekitar 3 petang di rumah yang turut dijadikan markas penyalahgunaan daun ketum itu, ada 11 warga Thailand sedang berehat.

"Berdasarkan siasatan, mereka semua adalah pemandu lori dan selepas ujian air kencing kita mendapati empat daripada mereka positif syabu, " katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Azizah berkata, 68 bungkusan cecair berisi air ketum dan lima kilogram daun ketum turut dirampas dalam operasi berkenaan.

"Semua suspek yang berusia 20 hingga 50 tahun itu kemudiannya diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Azizah berkata, dua lagi suspek yang turut positif syabu ditahan dalam operasi yang dijalankan di Pos Kawalan AKSEM di Sungai Chuchuh, di sini sekitar jam 5 petang.

Berita Harian X