Sabtu, 18 March 2017 | 12:05pm

Proaktif rancang masa depan ATM: Agong

YANG di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V berangkat tiba di Majlis Perbarisan Pertauliahan Diraja dan Pengurniaan Watikah Tauliah Pegawai Kadet Angkatan Tentera Malaysia  (ATM) di Kem Perdana Sungai Besi. - Foto Khairull Azry Bidin

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V mengingatkan pegawai muda Angkatan Tentera Malaysia (ATM) supaya proaktif dalam membantu merancang masa depan angkatan tentera, sesuai dengan perkembangan semasa.

Seri Paduka bertitah, ini kerana pada alaf baharu ini, ancaman bentuk baharu mula dirasakan ketika proses globalisasi.

"Sebagai seorang pegawai tentera yang berijazah, beta berharap saudara saudari sekalian akan lebih berkemampuan untuk menghadapi cabaran kerjaya masa depan dengan penuh yakin serta semangat jati diri yang tinggi.

"Usaha untuk meningkatkan pengetahuan dan ilmu ketenteraan harus diteruskan untuk membolehkan saudara saudari sensitif dengan perkembangan teknologi pertahanan semasa," titah baginda.

Seri Paduka bertitah demikian ketika menyempurnakan Istiadat Perbarisan Pentauliahan Diraja dan Pengurniaan Watikah Tauliah Pegawai Kadet dan Pegawai Graduan Angkatan Tentera Malaysia 2017 di Kem Perdana Sungai Besi, di sini.

Sultan Muhammad V turut mengingatkan pegawai muda ATM untuk menjaga nilai peribadi dan akhlak mereka supaya tidak terjebak dengan gejala tidak sihat.

Maruah dan imej angkatan tentera boleh terjejas akibat tindakan segelintir pegawai yang tidak bermoral dan tidak amanah, titah baginda.

Baginda bertitah, setelah dibekalkan dengan asas profesion ketenteraan, sewajarnya pegawai muda ATM telah bersedia meneruskan tradisi angkatan tentera yang sanggup berkorban mempertahankan agama, bangsa dan kedaulatan negara.

"Seperti mana yang kita ketahui, profesion ketenteraan adalah kerjaya yang unik. Kerjaya ini menekankan dua elemen penting iaitu kemahiran ketenteraan dan juga kepakaran profesional dalam pelbagai bidang seperti kejuruteraan, sains dan pengurusan yang strategik.

"Gabungan kedua-dua elemen ini akan memberi kesan kepada usaha meningkatkan keupayaan pertahanan negara. Beta yakin dengan ilmu yang ada, saudara saudari akan dapat menyumbang ke arah pembentukan angkatan tentera yang kredibel dan disegani," titah baginda.

Pada istiadat itu, Sultan Muhammad V menyampaikan watikah pentauliahan kepada 339 Pegawai Kadet Akademi Latihan Ketenteraan yang tamat latihan ketenteraan bagi tempoh empat hingga lima tahun, sepanjang pengajian peringkat ijazah sarjana muda di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia. - BERNAMA

Berita Harian X