Sabtu, 18 March 2017 | 12:36pm

`Malaysia kecil, Disney tak rugi banyak'

KLUANG: Kementerian Dalam Negeri (KDN) tetap melarang penyiaran filem Beauty and The Beast selagi tidak memotong babak berkaitan gay.

Timbalan Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed, berkata pihaknya hanya membenarkan tayangan filem yang mematuhi peraturan ditetapkan negara ini.

"Kita ada undang-undang. Apa-apa yang berkaitan LGBT (Lesbian, Gay, Biseksual, Transgender), kita tidak akan benarkan.

"Syarikat Disney tak rugi (jika tidak tayang) tetapi mereka menggunakan isu ini seolah-olah menjadi pejuang LGBT dan mereka boleh buat demikian kerana pasaran Malaysia kecil, kalau tak tayang mereka tak rugi banyak.

"Cuba China atau Russia yang larang, sudah tentu mereka tunduk kepada kehendak dan budaya negara itu tetapi kerana Malaysia kecil, tak rugi banyak jika tak tayang di sini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Sambutan Hari Penjara Ke-227 dan Hari Antidadah Kebangsaan 2017 yang disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, di Penjara Simpang Renggam, di sini hari ini.

Nur Jazlan mengulas rayuan Walt Disney kepada Lembaga Penapisan Filem (LPF) agar tidak memotong babak gay Beauty and the Beast yang menjadi kontroversi.

Sebelum ini, badan penapisan itu memotong lebih empat minit babak dianggap kontroversi termasuk aksi gay.

Susulan penapisan itu, Walt Disney menangguhkan tayangan Beauty and the Beast yang sepatutnya masuk pawagam mulai semalam, kepada 30 Mac ini.

Studio itu dilaporkan lebih rela tidak menayangkan filemnya yang sudah ditapis.

Berita Harian X