Sabtu, 18 March 2017 | 8:05pm

Pembangkang dicabar daftar sebagai pertubuhan rasmi


DATUK Seri Rezal Merican Naina Merican (dua dari kanan) menyampaikan sijil kelayakan dan Inden kerja Rumah Mesra Rakyat 1Malaysia peringkat Parlimen Kepala Batas di Bangunan Umno Kepala Batas, Pulau Pinang. - Foto Ramdzan Masiam

KEPALA BATAS: UMNO Pulau Pinang mencabar pakatan pembangkang yang dinaungi beberapa parti politik di negara ini supaya berdaftar sebagai sebuah pertubuhan rasmi bagi membolehkan rakyat menilai matlamat dan hala tuju sebenar mereka.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, berkata sehingga kini pakatan pembangkang dilihat masih tidak berdaftar sebagai sebuah pertubuhan, sekali gus menyukarkan rakyat untuk menilai kepemimpinan mereka.

Beliau berkata, rakyat kini mahu melihat sebuah pertubuhan yang mampu menawarkan perkhidmatan terbaik, bukan yang hanya pandai membuat janji palsu.

"Kerajaan Barisan Nasional (BN) yang ditubuhkan sejak 1974 dan kini sudah hampir 43 tahun, sehingga kini masih bersatu walaupun melalui pelbagai cabaran sepanjang tempoh memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.

"Tetapi pakatan pembangkang yang menawarkan janji itu dan ini masih tidak mendaftar sebuah pertubuhan rasmi, yang mana akhirnya rakyat masih tidak akan nampak matlamat yang dibawa mereka," katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Sijil Kelayakan Subsidi dan Inden Kerja Rumah Mesra Rakyat 1Malaysia (RMR1M) Parlimen Kepala Batas di Wisma UMNO Kepala Batas di sini, petang tadi.

Reezal yang juga Ahli Parlimen Kepala Batas turut meminta pakatan pembangkang melantik seorang pengerusi yang layak memimpin pertubuhan itu apabila ia didaftarkan kelak.

Sementara itu, Reezal berkata, sebanyak 908 permohonan RMR1M diterima di Pulau Pinang sejak program itu diperkenalkan pada 2002, dan daripada jumlah itu 426 permohonan diluluskan dengan 293 unit rumah siap dibina.

"Kita berterima kasih kepada kerajaan melalui Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) apabila menyalurkan peruntukan dengan subsidi pembinaan bagi melaksanakan program RMR1M ini," katanya.

31 dibaca
Berita Harian X