Ahad, 19 March 2017 | 11:03am
ANGGOTA pasukan mencari dan menyelamat membaca doa sebelum menyambung usaha mencari dua lagi kanak-kanak yang dibawa arus deras di anak Sungai Selangor, Kampung Timah, Bukit Beruntung. - Foto Yusni Ariffin

Tragedi lemas: Usaha cari 2 lagi mangsa diteruskan


ANGGOTA pasukan mencari dan menyelamat membaca doa sebelum menyambung usaha mencari dua lagi kanak-kanak yang dibawa arus deras di anak Sungai Selangor, Kampung Timah, Bukit Beruntung. - Foto Yusni Ariffin

KUALA KUBU BHARU: Usaha mencari dua lagi kanak-kanak yang dibawa arus deras di anak Sungai Selangor, Kampung Timah, Bukit Beruntung di sini, yang masuk hari ketiga diteruskan hari ini.

Dua mangsa, Mohd Ikhwan Mohd Ridhuan dan Muhammad Aiman Kamarul Arifin, masing-masing berusia 10 dan 12 tahun sehingga kini masih belum ditemui selepas dihanyutkan arus deras bersama enam lagi rakan, kelmarin.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu, Penolong Penguasa Bomba Kamil Hamadan, berkata operasi mencari bermula jam 10 pagi ini ditumpukan di sepanjang anak sungai berkenaan sehingga ke muara Sungai Selangor.

"Radius pencarian dilakukan dalam jarak lima kilometer dari tempat kejadian ke arah Sungai Selangor.

"Pasukan mencari dan menyelamat dengan kekuatan 97 anggota dibahagikan kepada beberapa kumpulan untuk melakukan pencarian," katanya ketika ditemui pemberita di sini, sebentar tadi.

Katanya, operasi SAR arini akan dilakukan menggunakan lima bot penyelamat milik bomba, Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Unit Anjing Pengesan K9 bomba.

Kelmarin, lapan murid sekolah berusia sembilan hingga 12 tahun, termasuk satu pasangan adik-beradik hanyut dibawa arus deras ketika sedang menangguk ikan di anak sungai Selangor di Kampung Timah.

Dalam kejadian kira-kira 4 petang itu, lima mangsa, Shahrizwan Abdullah, 10, Shahrizat Abdullah, 12, Mohd Iskandar Shah Abdullah, 11, Mohd Aiman Fitri Md Asmadi,12, dan Amirul Hakimi Khairul Amru, 9, ditemui lemas.

Bagaimanapun, seorang mangsa, Muhammad Shahir Azman, 12, terselamat, manakala dua lagi masih hilang.

Kejadian itu dipercayai berpunca daripada fenomena kepala air.

121 dibaca
Berita Harian X