Selasa, 30 Disember 2014 | 6:21pm
Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM)

PFAM gesa PFA segera bayar gaji tertunggak pemain

PETALING JAYA: Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) menggesa Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) segera menyelesaikan kemelut pembayaran gaji pemain skuad 'Singa Utara' yang tertunggak lima bulan sejak Jun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif PFAM, Izham Ismail berkata pihaknya tidak menolak kemungkinan akan membawa perkara tersebut ke mahkamah atau pun mendapat perhatian Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan Kesatuan Pemain Sedunia (FIFPro) sekiranya tiada usaha untuk menyelesaikan isu berkenaan.

Katanya seramai 12 pemain Perlis membuat aduan tidak bersetuju tindakan PFA yang mahu membayar tunggakan gaji bagi bulan Jun 2014 sahaja dan tidak akan membayar gaji pemain dari bulan Julai sehingga November.

"PFAM merasakan perkara ini adalah tidak adil dan PFA mengingkari kontrak pemain yang dipersetujui bersama. "Seramai 12 pemain yang membuat tuntutan tersebut tidak bersetuju dengan terma yang dibuat PFA dalam satu perjumpaan dihadiri Timbalan Presiden PFA pada 11 September lalu," katanya dalam sidang media di sebuah kafe di Setiawalk Mall, Puchong hari ini.

Turut hadir pada sidang media tersebut ialah Presiden PFAM, Hairuddin Omar dan ketua pasukan Perlis, Mohd Khairi Zainuddin serta beberapa pemain.

Izham berkata pihaknya turut bertindak membawa kes tersebut kepada perhatian Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menerusi penyerahan afidavit bertarikh 12 November lalu.

Pihaknya juga dimaklumkan bahawa Jawatankuasa Status FAM sedang meneliti tuntutan tersebut dan sehingga kini PFAM masih menunggu maklum balas daripada badan induk sukan bola sepak itu.

Sementara itu, Mohd Khairi berkata kebanyakan pemain Perlis terbabit membuat keputusan bersara awal dalam arena bola sepak berikutan bosan dengan masalah pembayaran gaji tersebut.

Beliau berkata PFA sepatutnya tiada masalah dalam pembayaran gaji kerana Perlis adalah pasukan yang menerima tawaran gaji terendah iaitu antara RM3,000 sehingga RM7,000 berbanding pasukan lain.

"Saya berasa sungguh terkilan apabila karier saya berakhir dengan masalah seperti ini. Kami (pemain) telah banyak berkompromi dengan PFA tetapi mereka masih terus berdiam diri.

"Ada di kalangan pemain yang bukan berasal daripada Perlis terpaksa balik ke kampung halaman masing-masing dan mengalami masalah kewangan serius.

Kami mempunyai keluarga yang perlu ditanggung, saya harap pihak PFA faham masalah ini," kata Mohd Khairi. - BERNAMA

Berita Harian X