Ahad, 19 March 2017 | 4:06pm

Tambah pelajar program empower ECER - MB


AHMAD Razif (tengah) bersama penerima anugerah pelajar cemerlang pada majlis Penyampaian Anugerah Cemerlang SPM 2016 empower ECER Kuala Nerus, Setiu dan Marang di Kuala Terengganu. - Foto Mohd Syafiq Ridzuan Ambak

KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri dengan kerjasama Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) akan meneruskan program empower Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) dengan menambah 200 peserta di setiap daerah.

Melalui program berkenaan, pelajar dari keluarga kurang berkemampuan terutama kelompok B40 bukan sahaja mendapat kemudahan akademik terbaik, tetapi juga berpeluang melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman, berkata Program Latihan Akademik, empower ECEE membantu meningkatkan keputusan peperiksaan awam di Terengganu.

"Saya begitu gembira apabila 25 pelajar daripada keluarga kelompok B40 mendapat pengiktirafan daripada ECER kerana sebelum ini kita sedia maklum kebanyakan anak-anak yang hidup dalam kesempitan ini sentiasa ketinggalan.

"Inisiatif ECER melalui program empower ini sekali gus mencipta peluang kepada mereka untuk mendapat kemudahan pendidikan yang sewajarnya," katanya selepas menyampaikan anugerah kepada 25 pelajar di Majlis Penyampaian Anugerah Cemerlang SPM 2016 empower ECER Kuala Nerus, Setiu dan Marang di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Datuk Seri Jabasingam Issace John.

Ahmad Razif berkata, kerajaan dan ECERDC juga akan terus membantu menempatkan pelajar ke pusat pengajian yang sewajarnya.

"Kita mahu anak-anak ini berjaya dan membantu mengeluarkan keluarga mereka daripada kemiskinan. Jadi kerajaan dan ECERDC sentiasa melaksanakan program jangka panjang yang boleh membantu golongan ini.

"Malah untuk 2017, ECER juga merancang meneruskan program ini dengan menambah lagi jumlah pelajar peserta program empower ini, selain meminta pihak universiti seperti Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan kolej kepunyaan kerajaan negeri, Tati Universiti Kolej untuk memberi bantuan dan menyediakan tempat kepada golongan ini," katanya.

Berita Harian X