Selasa, 30 Disember 2014 | 6:28pm
Airil Rizal Kamrul Haimi, 5 (kiri) menyuapkan makanan kepada adiknya, Aariz Rayqual Kamrul Haimi, 2 di Pusat Pemindahan Kampung Batu 14. - Foto Ghazali Kori

Dakwaan pusat pemindahan banjir serba kekurangan tidak benar

KEMAMAN: Dakwaan berlakunya kekurangan bekalan makanan dan barangan keperluan lain di pusat pemindahan banjir di sekitar Terengganu sehingga mangsa yang ditempatkan di situ tidak selesa adalah palsu.

Hasil tinjauan Berita Harian Online di beberapa pusat pemindahan di sekitar Daerah Kemaman dan Dungun mendapati, rata-rata mangsa banjir yang terjejas menerima bantuan yang mencukupi dan mendapat kemudahan yang selesa.

Seorang mangsa banjir yang ditemui, Arzami Abdul Ghani, 48, yang tinggal di pusat pemindahan sejak lebih seminggu lalu berkata, setakat ini tiada masalah berkaitan kekurangan bekalan.

Malah, beliau berterima kasih terhadap keprihatinan kerajaan menyediakan bantuan yang diperlukan sehingga sedikit sebanyak meredakan keresahan hati beliau akibat bencana itu.

"Kita duduk di sini, Alhamdulillah, makanan, selimut, semua yang dia bagi cukup. Kita harap kerajaan bantu kita sedikit sebanyak selepas banjir ini, peralatan rumah dan sebagainya," katanya.

Seorang lagi mangsa banjir, Hanif Syazwan 21, berkata kehadiran petugas dan badan bukan kerajaan (NGO) yang menyediakan pelbagai aktiviti kepada kanak-kanak menceriakan lagi suasana di pusat pemindahan.

Katanya, walaupun sedih dia tetap bersyukur kerana masih ada tempat berlindung dan terharu dengan bantuan yang disediakan.

"Saya harap kerajaan akan memberi tumpuan di Terengganu dan beri bantuan yang lebih sikit, sebab ramai di sini yang terjejas," katanya.

Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan bantuan khusus sebanyak RM500 juta kepada semua negeri yang terjejas akibat banjir.

Bantuan itu bagi membantu mangsa yang kediaman dan kenderaan yang musnah.

Dana berkenaan akan diuruskan sepenuhnya oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan akan mula disalurkan selepas berakhirnya bencana itu.

Bagi meringankan lagi beban mereka yang terjejas, Perdana Menteri turut meminta institusi kewangan dan agensi yang menguruskan dana pinjaman menjadualkan semula tempoh pembayaran pinjaman.

Berita Harian X