Ahad, 19 March 2017 | 6:34pm

CIMB raih anugerah bank runcit terbaik

KUALA LUMPUR: CIMB Bank Bhd meraih anugerah Bank Runcit Terbaik di Malaysia pada program Anugerah Kecemerlangan Antarabangsa dalam Perkhidmatan Kewangan Runcit 2017 oleh The Asian Banker.

CIMB Bantuan Maya Yang Dipertingkatkan (EVA), aplikasi perbankan 'chatbot' pertama di ASEAN, turut memenangi anugerah Produk Perbankan Internet Terbaik Tahun ini pada majlis yang berlangsung di Tokyo, Jepun, baru-baru ini.

'Chatbot' adalah program komputer yang direka untuk perbualan dengan pengguna, terutamanya melalui Internet.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbankan Pengguna Kumpulan CIMB, Samir Gupta, berkata anugerah Bank Runcit Terbaik itu membuktikan usaha berterusan syarikat perbankan itu dalam memberi pengalaman pelanggan yang cemerlang, seiring dengan jangkaan pengguna hari ini serta pilihan untuk perbankan dalam talian dan mudah alih.

"Ia ditambah dengan rangkaian ASEAN CIMB yang kukuh, menyumbang kepada pengalaman perbankan tanpa sempadan untuk lebih 12 juta pelanggan runcit kami," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Di sebalik kejayaan CIMB EVA, ia juga contoh unggul untuk perbankan yang lebih mudah, selamat dan selasa, katanya.

"Pelanggan boleh menyemak baki akaun semasa atau simpanan, membayar bil dan menambah nilai secara lebih mudah melalui perbualan," katanya.

Anugerah Kecemerlangan Antarabangsa dalam Perkhidmatan Kewangan Runcit 2017 oleh The Asian Banker adalah program anugerah paling ketat, prestij dan telus di Asia Pasifik, Asia Tengah, Asia Barat dan Afrika. - BERNAMA

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X