Ahad, 19 March 2017 | 6:42pm

Cari dalang tembak pegawai perhutanan


DATUK Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar. - Foto Muhd Zaaba Zakeria

PUTRAJAYA: Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar akan memberikan kerjasama penuh kepada polis berhubung insiden pegawainya ditembak ketika menjalankan serbuan di Kampung Serdang, berhampiran Hutan Simpan Bukit Bauk, Dungun, Jumaat lalu.

Menterinya, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata beliau terkilan dengan insiden itu dan memandang serius perkara itu.

"Insiden ini tidak boleh dipandang ringan dan saya agak terkilan apabila ada individu berani mencederakan pihak penguat kuasa yang juga pegawai kerajaan menjalankan tugas melindungi khazanah hutan negara.

"Kami (Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar dan Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu) akan beri kerjasama penuh dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) agar dalang di sebalik kejadian ini dibawa ke muka pengadilan serta dikenakan hukuman berat dan setimpal.

"Saya dimaklumkan seramai 10 anggota Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu sedang menjalankan operasi penguatkuasaan di Kampung Serdang dan menjumpai sebuah mesin pengorek dan dua batang kayu balak jenis kapur yang pendek dalam tanah pertanian berhampiran Hutan Simpan Bukit Bauk.

"Seterusnya, mesin pengorek itu disita namun tiada tangkapan dibuat," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jumaat lalu, tiga das tembakan yang dipercayai dilepaskan sindiket lanun rimba di Terengganu, terkena dua anggota Jabatan Perhutanan negeri itu dan mencederakan seorang daripada mereka ketika sedang menjalankan serbuan di Kampung Serdang berhampiran Hutan Simpan Bukit Bauk, Dungun.

Berita Harian X