Selasa, 30 Disember 2014 | 7:52pm
Hatta Dolmat.

Hatta Dolmat lebarkan rangkaian fesyen jalanan untuk lelaki

KUALA LUMPUR: Pereka fesyen terkenal Hatta Dolmat baru baru ini mengorak langkah memperkenalkan koleksi rangkaian fesyen jalanannya khusus buat lelaki.

Beliau yang mula menempa nama sejak 2005 menerusi rekaan busana buat calon Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) ketika itu untuk Fasha Sandha dan Jaclyn Victor sebelum ini lebih memberi tumpuan kepada pakaian wanita.

Selepas sedekad apa yang beliau lakukan kini atas dasar mencabar keupayaan dirinya sebagai manusia dan sudut pandang pereka fesyen

"Selain meminati fesyen saya sendiri juga gemar berfesyen. Saya paling suka fesyen jalanan yang mana ia bersesuaian dengan Malaysia selain mempertimbangkan faktor cuaca.

"Fesyen ini sebenarnya mempunyai permintaan tersendiri dan kenapa tidak saya tidak memulakannya. Kalau pun ada koleksi lelaki di pasaran ialah gaya dapper seperti sut," katanya yang menjadi pereka pertama mereka pakaian 'ready to wear' untuk lelaki kategori gaya fesyen jalanan.

Dalam kalangan peminat fesyen dan dunia seni, nama beliau bukan asing lagi. Kejayaan demi kejayaan diraihnya dan menjadi memori manis buat empunya diri.

Beliau pernah bekerjasama dengan artis popular seperti Ziana Zain, Yuna, Erra Fazira, Neelofa, Kilafairy, Tasha Shilla, Adira, Hafiz Suip, Izzue Islam dan Hanez Suraya.

"Sudah pasti menerima anugerah yang mengiktiraf saya sebagai pereka fesyen terbaik termasuk Anugerah Pereka Popular dan meraih Pakaian Terbaik untuk beberapa kali menerusi ABPBH antara memori indah.

"Paling manis saya menerima anugerah bersama Datuk Siti Nurhaliza di majlis anugerah UDC Bussiness Award. Saya menang untuk kategori Pereka Fesyen Terbaik 2011.

"Selain itu pengalaman membuka butik di Jalan Plumbum Shah Alam Seksyen 7 pada tahun 2010 dari hasil titik peluh sendiri adalah satu kepuasan yang tak dapat saya lupakan," katanya yang akrab dengan Yuna.

Tahun 2014 juga boleh dilihat membanggakan Hatta sendiri kerana beliau turut menganjurkan pencarian bakat baru yang boleh diketengahkan dalam dunia fesyen dan di arena seni dipanggil Him By Hatta.

Tahun 2015 yang bakal datang turut akan membuatkan beliau terus sibuk termasuk menganjurkan kali kedua pencarian muka Him By Hatta yang kini dikenali Hatta Him.

"Saya juga sekarang dalam misi mencari pencarian wajah HATTA HIJAB untuk wanita yang sesuai dijadikan wajah wakilan label berkenaan yang semestinya bertudung. Tahun hadapan selain memberi tumpuan kepada koleksi terbaru 2015 saya juga akan tampil dengan rekaan busana pengantin.

"Pencarian HATTA HIM juga akan lebih menarik kerana kali ini membabitkan nama nama besar industri yang skopnya lebih besar berbanding dulu.

"Kali saya mencari model lelaki yang mempunyai pesona, layak menjadi model dan mempunyai kualiti kepintaran dan perhubungan awam yang bagus," katanya yang kali ini inginkan wakil dari Borneo, kaum Cina dan India selain Melayu supaya ia lebih berwarna dan nampak lebih Malaysia untuk pencarian Hatta Him.

Berita Harian X