KONSEP Hypermotard menjejaki perjalanan yang agak panjang sejak ia memenangi anugerah Rekabentuk Terbaik pada Pameran Motosikal Milan (EICMA) pada 2005. Versi semasa adalah generasi ketiga Hypermotard yang berada di jalan raya, menerusi legasi model sama sebelumnya.
BH Auto berpeluang menunggang uji Ducati Hypermotard 939 2016 sumbangan Ducati Malaysia pada minggu lalu. Satu peluang yang amat dinantikan.
Dari segi luaran, reka bentuk yang dihasilkan pengeluar motosikal Itali, Ducati ini amat jarang mengecewakan. Lihat sahaja pada rangka dan casis jejari merah pada Hypermotard ini, anda tentu faham maksud saya.
Susun atur komponen pada motosikal ini juga kemas dan Ducati mengekalkan tradisinya dengan melengkapkan Hypermotard dengan lengan ayun tunggal sebelah yang menyerlahkan rim sport belakang lapan jejari yang menarik.
Hypermotard kini dipacu oleh enjin lebih berkuasa iaitu 937cc Testastretta 11 darjah V-twin, yang mana meningkatkan lagi tork sebanyak 10 peratus dengan ekzos standard 2-dalam-1 juga tidak kurang hebatnya.
Dengan kuasa 113 hp, berat kering 181 kilogram, motosikal ini rasa amat ringan pada kelajuan rendah, justeru membolehkannya mudah dikawal dan amat responsif ditunggang mengharungi kesesakan bandar.
Tork 72.2 lb-ft pada RPM 7,500 yang dilampias enjin Ducati V-twin membolehkan penunggang memecut keluar dari selekoh dengan bersahaja. Ini antara perkara yang mengujakan penulis untuk menunggang model ini.
Memastikan Hypermotord terus stabil menggigit jalan, ia dilengkapi dengan fork Kayaba 43 milimeter diameter, dengan kelegaan roda 170 mm, dan penyerap hentakan Sachs yang boleh dilaras, dengan 150 mm kelegaan roda. Komponen ini bergerak harmoni dengan tayar Pirelli Diablo Rosso II dan sistem brek Bosch ABS 90MP, sekali gus menjadikan penulis lebih berkeyakinan ketika mengambil selekoh dan memecut di laluan luruh. Kelajuan maksimum Hypermotard adalah 220 kilometer sejam (km/j).
Kategori lazim motosikal berkuasa tinggi adalah sport, pengembaraan, jelajah dan lasak. Hypermotard adalah kategori baharu yang menggabungkan sebahagian kategori itu. Ini jelas dilihat pada tiga mod tunggangan iaitu Urban, Touring dan Sport, selain sistem Kawalan Cengkaman Ducati (DTC).
Pada mod Sport, kuasa 113 hp dijana, tindak balas pendikit menerusi sistem Ride-By-Wire (RNW) amat tinggi, sementara DTC pada paras 3 dan ABS pada paras 1. Pada mod Touring, kuasa 113 hp dicetuskan tetapi dengan respons RBW yang sederhana manakala pada mod Urban, kuasanya adalah 75 hp dengan respon RBW yang rendah.
Kesimpulannya, penulis amat teruja menunggang Hypermotard 939cc pada hujung minggu lalu. Model ini bukan sahaja sesuai untuk kegunaan harian serta untuk tunggangan jarak jauh, malah ia juga boleh beraksi di litar lumba pada 'track day'. Anda hanya perlu menetapkan mod tunggangan dan pecut!!
Spesifikasi:
Saiz enjin: 937cc
Jenis enjin: 4 strok, V-twin desmo sejukan cecair
Kapasiti tangki: 16 liter
Ketinggian: 870 mm
Berat: 203 kg
Suspensi depan: fork 43 mm
Suspensi belakang: Penyerap hentakan tunggal, boleh laras
Brek hadapan: Brembo monobloc 4 piston 2x320 mm, ABS
Brek belakang: Disk 245 mm, 2 piston, ABS
Saiz tayar hadapan: 120/70 R17
Saiz tayar belakang: 180/55 R17
Harga: RM70,999 (harga asas termasuk GST)