Selasa, 21 March 2017 | 1:33pm

Pelancong India dikenakan RM88 visa

DATUK Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz . - Foto Yazit Razali

DATUK Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz . - Foto Yazit Razali


KUALA LUMPUR: Mulai 1 April ini, warga India yang ingin memasuki negara ini hanya perlu membayar visa serendah AS$20 atau RM88 (RP1,308).

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Nazri Abdul Aziz, berkata pelawat dari India juga tidak perlu lagi menggunakan orang tengah memohon visa kerana boleh dilakukan secara dalam talian (e-visa)

Katanya, pemohon akan mendapat visa dalam tempoh 48 jam selepas permohonan dibuat dan pelancong terbabit dibenarkan berada di negara ini selama 15 hari.

"Kelonggaran syarat masuk ini bertujuan meningkatkan lagi kedatangan pelancong India ke negara ini selepas kehadiran mereka agak merosot pada tahun lalu.

"Pada tahun lalu, bayaran visa yang perlu dibayar adalah RM378 seorang (RP5,600), maka pelancong India memilih melancong ke negara jiran seperti Thailand dan Vietnam yang tidak mengenakan visa kepada mereka," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan VN Sivakumar (DAP-Batu Gajah) di Dewan Rakyat, hari ini.

Nazri berkata, sikap ramah dan fasih berbahasa Inggeris banyak membantu menarik kedatangan pelancong asing ke negara ini.

"Selain itu, kepelbagaian kaum, agama dan bahasa yang unik turut menarik pelancong asing dari pelbagai negara dan benua ke negara ini, " katanya menjawab soalan tambahan Datuk Othman Abdul (BN-Pendang).

Berita Harian X