Selasa, 21 March 2017 | 3:05pm

131 taska kena tindakan sepanjang 2016

MENTERI Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim. - Foto Fariz Iswadi Ismail
MENTERI Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim. - Foto Fariz Iswadi Ismail

KUALA LUMPUR: Sebanyak 131 taman asuhan kanak-kanak (taska) dikenakan pelbagai tindakan penguatkuasaan kerana melakukan pelbagai kesalahan yang melanggar Akta Taska 1984 dan Peraturan Taska 2012 sepanjang 2016.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim, berkata daripada jumlah itu, sebanyak 10 pengusaha taska didakwa di mahkamah dan 53 dibatalkan pendaftaran.

Katanya, sebanyak tiga taska turut diarahkan ditutup sementara, sembilan disita, 14 dikompaun dan 43 dikenakan amaran bertulis.

"Jumlah keseluruhan tindakan penguatkuasaan terhadap taska yang menyalahi akta sepanjang tahun 2016 adalah sebanyak 131 berbanding 23 taska pada tahun 2015.

"Jumlah tindakan penguatkuasaan terhadap taska ini meningkatkan sehingga 80 peratus, sekali gus menunjukkan kami serius menangani isu pelanggaran peraturan mengendalikan taska terutama penderaan terhadap kanak-kanak," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Dr Mansor Bin Abdul Rahman (BN-Sik) berhubung jumlah taska diambil tindakan oleh kementerian sepanjang tahun lalu.

Rohani berkata, bagi memastikan pengusaha taska sentiasa mematuhi akta dan peraturan ditetapkan, Jabatan Kemajuan Masyarakat (JKM) akan menjalankan pemeriksaan mengejut di seluruh negara.

"Tahun ini, kami sasar untuk melakukan 1,000 pemeriksaan mengejut terhadap taska di seluruh negara," katanya.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada pihak yang mendedahkan kes penderaan kanak-kanak dan menjadi viral seperti yang berlaku dalam kes di Bandar Baru Bangi tahun lalu.

Katanya, tanpa kerjasama daripada masyarakat, pihaknya tidak mungkin dapat mengesan pengusaha taska melakukan kesalahan dan melakukan penderaan terhadap kanak-kanak.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X