Selasa, 21 March 2017 | 3:34pm

UTM hasil MyThrob imbas penyakit jantung

INISIATIF yang dibangunkan Fakulti Biosains dan Kejuruteraan Perubatan UTM sejak awal 2013 lalu itu, bertujuan menghasilkan mesin imbasan dengan kos rendah yang dikenali sebagai MyThrob.

JOHOR BAHRU: Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menghasilkan kaedah imbasan bagi mengenal pasti tanda awal punca penyakit jantung, sekali gus mempertingkat keberkesanan rawatan kesihatan.

Inisiatif yang dibangunkan Fakulti Biosains dan Kejuruteraan Perubatan UTM sejak awal 2013 lalu itu, bertujuan menghasilkan mesin imbasan dengan kos rendah yang dikenali sebagai MyThrob.

Ketua projek, Dr Jasmine Hau Yuan Wen, berkata teknologi itu bertindak sebagai alat memantau dan memeriksa keadaan jantung pesakit menerusi reka bentuk konfigurasi semula dalam usaha menambah baik penyelesaian penyakit jantung pada masa akan datang.

Katanya, sistem itu bertindak sebagai rangkaian neural tiruan berdasarkan teknik klasifikasi bagi membolehkannya meningkatkan prestasi sistem elektrokardiografi sedia ada dengan menggunakan pangkalan data lebih besar.

"MyThrob berupaya mengesan kadar kesihatan jantung dengan tepat dan cepat, selain menjimatkan masa pesakit tanpa perlu ke hospital besar termasuk menunggu untuk masa yang lama.

"MyThrob ini dijangka memerlukan penyelidikan lanjutan bagi tempoh tiga tahun lagi sebelum ia berupaya untuk dipasarkan ke klinik kecil atau hospital yang memerlukannya.

"MyThrob secara tidak langsung akan membantu mengesan ritma nadi jantung dengan merekodkan bacaan jantung pesakit di tahap normal atau sebaliknya," katanya ketika ditemui bersempena Hari Inovasi Fakulti Biosains dan Kejuruteraan Perubatan UTM, di sini, hari ini.

Hari Inovasi yang memasuki tahun kedua penganjurannya itu membabitkan seramai 22 peserta dengan enam inovasi produk yang dipamerkan bertujuan menyemarakkan pengetahuan dan kemahiran inovasi dalam kalangan mahasiswa menerusi aktiviti interaktif antaranya realiti virtual, i-tech badminton, x-box Boboboi, laman interaktif dan cetakan 3D.

Yuan Wen berkata, projek itu mendapat kerjasama Institut Jantung Negara (IJN), selain membabitkan kira-kira 12 ahli termasuk lima kakitangan akademik bagi menjayakan projek itu.

Katanya, MyThrob bukan untuk menggantikan mesin elektrokardiogram (ECG) atau mesin holter sedia ada, sebaliknya bertindak sebagai penggerak bagi memudahkan lagi sistem imbasan jantung pengguna apabila produk berkenaan dihasilkan kelak.

Berita Harian X