Selasa, 21 March 2017 | 6:14pm

5 individu etnik Rohingya ditahan

KETUA Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu Asisten Komisioner Wan Abd Aziz Wan Hamzah.- Foto Mohd Syafiq Ridzuan Ambak
KETUA Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu Asisten Komisioner Wan Abd Aziz Wan Hamzah.- Foto Mohd Syafiq Ridzuan Ambak

KUALA TERENGGANU: Polis menahan lima individu etnik Rohingya termasuk isteri dan anak lelaki suspek utama kes pembunuhan kejam seorang lelaki etnik sama di sebuah rumah di Kampong Pak Madah, Bukit Payung, Marang, Sabtu lalu.

Kedudukan semua suspek berjaya dikesan Pasukan Khas Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) apabila polis menahan seorang lelaki etnik Rohingya berusia 40 tahun yang ditemui dalam keadaan kebingungan di Pekan Bukit Payung kira-kira jam 1 pagi semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Wan Abd Aziz Wan Hamzah, berkata lelaki terbabit dikenal pasti sebagai abang mangsa dan dia didapati berada di lokasi kejadian ketika adiknya itu dibunuh.

Katanya, susulan penahanan itu, polis menyerbu satu lokasi di kawasan Perindustrian Bukit Khor, Marang, kira-kira jam 1.30 tengah hari semalam, sebelum menahan isteri dan anak lelaki suspek berusia 25 dan 15 tahun.

"Dalam serbuan itu, polis turut menahan adik ipar suspek berusia 19 tahun yang dipercayai turut terbabit dalam kes pembunuhan berkenaan. Kira-kira dua jam kemudian, polis menahan abang kepada suspek utama berusia 33 tahun di Ajil, Hulu Terengganu.

"Semua suspek kemudian dibawa ke Mahkamah Majistret Marang, hari ini, dan mereka direman selama enam hari untuk siasatan lanjut berhubung kes pembunuhan itu," katanya ketika dihubungi, sebentar tadi.

Wan Abd Aziz berkata, pihaknya percaya kes pembunuhan kejam ini dapat diselesaikan namun siasatan kini tertumpu kepada proses menjejaki suspek utama iaitu seorang lelaki etnik Rohingya dikenali sebagai Mohamad Qarim Abdul Razak atau Qori.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 malam itu, seorang lelaki etnik Rohingya ditemui mati dalam keadaan mengerikan apabila tubuhnya dipercayai ditikam bertubi-tubi menggunakan gerudi, mesin pengisar, tukul, parang, pisau dan topi keledar.

Mangsa yang juga pemegang kad UNCHR dipercayai menjadi mangsa bunuh adik beradik terbabit yang bermotifkan dendam dan cemburu.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X