Selasa, 21 March 2017 | 7:06pm

Malaysia Airlines bakal terima Airbus A350-900 pertama


PESAWAT Airbus A350-900.

LANGKAWI: Malaysia Airlines Berhad (Malaysia Airlines) bakal menerima pesawat Airbus A350-900 pertamanya akhir tahun ini.

Pesawat itu adalah satu daripada enam pesawat yang dijadualkan diterima Malaysia Airlines menerusi pajakan daripada Air Lease Corporation.

Ketua Pegawai Operasinya, Kapten Izham Ismail, berkata Malaysia Airlines menjalin kerjasama dengan Pusat Latihan Airbus (AATC) di Singapura untuk menyediakan latihan A350 XWB kepada kru penerbangan syarikat susulan penerimaan pesawat baharu itu.

Beliau berkata, latihan A350 XWB akan memainkan peranan penting dalam pengembangan rangkaian pelan masa depan syarikat.

"AATC menawarkan rangkaian penuh kursus dan kemudahan, termasuk simulator penerbangan penuh, membolehkan pihaknya melatih kru untuk pesawat baharu ini.

"Ini akan menjadi penyelesaian yang cekap dan efektif bagi kami," katanya ketika ditemui di Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2017 (LIMA'17), di sini, sebentar tadi.

AATC di Singapura adalah sebahagian daripada rangkaian pusat latihan penerbangan Airbus selain di Toulouse, Miami dan Beijing di China.

Sementara itu Naib Presiden Eksekutif Airbus untuk Asia, Jean-Francois Laval, berkata pihaknya berbangga dapat bekerjasama dengan Malaysia Airlines untuk latihan penerbangan itu.

"Kerjasama itu adalah isyarat hubungan erat antara Airbus dan Malaysia Airlines." katanya.

130 dibaca
Berita Harian X