Rabu, 22 March 2017 | 11:29am

USIM tubuh pasukan khas jayakan KSCIP

BANDAR BARU NILAI: Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) kini mempunyai pasukan khas bagi menjayakan penubuhan Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman (KSCIP).

Penubuhan KSCIP di USIM diumumkan dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan sempena lawatan empat hari Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud ke Malaysia antara 28 Februari hingga 1 Mac lalu.

PROFESOR Datuk Dr Musa Ahmad. - Foto Wan Nur Amirah Wan Mohamed Redza

Naib Canselor USIM, Profesor Datuk Dr Musa Ahmad, berkata penubuhan KSCIP dirancang dalam tempoh tiga bulan selepas kenyataan bersama itu dibuat.

Berikutan itu, katanya, USIM menganggotai Jawatankuasa Khas Penubuhan KSCIP dipengerusikan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, bersama Kementerian Pertahanan dan Institut Pertahanan dan Keselamatan Malaysia (MIDAS).

"USIM akan menyertai perbincangan bersama wakil Kementerian Pertahanan dan Liga Arab Sedunia dalam pertemuan dengan wakil kerajaan Arab Saudi yang akan berkunjung ke Malaysia, 10 April ini.

"Di peringkat universiti, USIM menubuhkan pasukan khas di peringkat universiti yang diketuai saya sendiri dan dianggotai oleh Timbalan Naib Canselor, dan ahli akademik dari pelbagai fakulti," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Dr Musa berkata, antara matlamat KSCIP ialah untuk menangani ancaman terhadap keamanan sejagat akibat penyebaran dakyah dan ideologi keganasan oleh golongan ekstremis dan kumpulan pengganas di seluruh dunia yang semakin kompleks.

Sehubungan itu, katanya, penubuhan KSCIP di USIM membolehkan kepakaran ahli akademik dalam pelbagai bidang, terutama pengajian Islam, undang-undang antarabangsa, kaunseling dan keselamatan, dimanfaatkan untuk kepentingan sejagat.

Katanya, USIM yang mengintegrasikan ilmu naqli dan aqli, boleh menerapkan keunikan itu dalam setiap bidang kepakaran yang ditawarkan supaya penubuhan KSCIP akan memberi kesan yang besar.

Berita Harian X