Rabu, 22 March 2017 | 12:57pm

Bella Dally terbuka hati untuk berniaga

PELAKON, Bella Dally berasakan sudah tiba masanya untuk beliau terjun ke dunia perniagaan seperti dilakukan kebanyakan selebriti lain ketika ini. - Foto Munira Abdul Ghani

KUALA LUMPUR: Pelakon, Bella Dally, 25, berasakan sudah tiba masanya untuk beliau terjun ke dunia perniagaan seperti dilakukan kebanyakan selebriti lain ketika ini.

Begitupun isteri aktor, Nazim Othman, ini tidak berhajat untuk mengikut jejak langkah sebahagian artis wanita lain yang mengusahakan perniagaan tudung, apatah lagi beliau sendiri masih bergelar duta kepada sebuah jenama produk sama.

"Saya akui, ketika ini pelbagai idea datang mencurah-curah untuk memulakan perniagaan sendiri. Begitupun saya belum berani hendak menyatakannya dulu. Apabila semuanya sudah sah nanti, barulah saya bersedia hendak menghebahkannya.

"Sebelum ini, jujur saya akui memang takut untuk menceburi dunia perniagaan. Sekarang rasanya tibalah masa untuk saya mencabar diri.

"Bagi saya, dunia perniagaan memerlukan ilmu. Jadi kalau boleh, saya mahu mengikuti kursus dalam bidang itu terlebih dulu sebelum memulakan langkah di arena bisnes," katanya yang kali akhir menghiasi layar lebar pada tahun lalu dengan membintangi filem Desolasi bersama Syamsul Yusof.

Katanya, beliau turut terfikir untuk mengusahakan perniagaan bersama suami sendiri.

"Perkara itu memang ada terlintas di fikiran saya. Malah, kami juga ada berbual kosong mengenainya. Namun, dengan kesibukan beliau, rasanya ruang untuk berbuat demikian agak terbatas. Jadi, lebih baik saya tumpukan kepada perniagaan sendiri dulu," katanya.

Mengenai dunia lakonan, Bella tidak pernah mengucapkan selamat tinggal kepada bidang yang dicintainya itu.

"Ketika ini, memang ada undangan berlakon saya terima, cuma belum ada kata putus mengenainya. Jadi, saya ambil peluang ini untuk berehat seketika dan menumpukan perhatian kepada rumah tangga.

"Waktu yang ada juga boleh saya gunakan untuk merencana dunia perniagaan bakal saya ceburi nanti. Apa pun, saya masih mahu berlakon dan takkan meninggalkan minat utama saya itu," katanya.

Berita Harian X