Rabu, 22 March 2017 | 1:14pm

AirAsia perkenal laluan Shenzhen-Langkawi

DATUK Seri Liow Tiong Lai (lima dari kanan) bersama Ketua Setiausaha, Kementerian Pengangkutan, Datuk Baharin Abdul Hamid (empat dan kanan) dan Aireen Omar (tengah) bergambar bersama ketika majlis sidang pengumuman penerbangan Langkawi - Shenzhen sempena LIMA 2017 di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC), Langkawi. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

LANGKAWI: AirAsia Bhd memperkenalkan laluan terus baharu menghubungkan pulau pelancongan itu dan Shenzhen di China berkuat kuasa 21 Julai ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Aireen Omar, berkata laluan baharu itu adalah laluan antarabangsa ketiga AirAsia dari Langkawi sekali gus dijangka mampu meningkatkan jumlah pelancong dari China ke Malaysia khususnya Langkawi.

"Berdasarkan statistik laluan dari Guangzhou, China ke Langkawi yang diperkenalkan tahun lalu, AirAsia mencatatkan peningkatan pelancong sebanyak 130 peratus.

"Ini adalah petanda yang bagus untuk menjadikan Langkawi sebagai pintu masuk kedua negara, selain Kuala Lumpur, " katanya ketika majlis memperkenalkan laluan baharu itu di Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2017 (LIMA'17), sebentar tadi.

Yang turut hadir, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Aireen berkata, selain pelancong dari China, Langkawi juga menjadi tumpuan pelancong dari United Kingdom, Singapura dan India.

Airasia akan menyediakan tiga penerbangan ke Langkawi dari Shenzhen seminggu iaitu pada Selasa, Khamis dan Sabtu.

Berita Harian X