Khamis, 23 March 2017 | 9:12am

IPO Eco World International dijangka terbesar di Malaysia


PRESIDEN & Ketua Pegawai Eksekutif Eco World Development Group Berhad, Datuk Teow Leong Seng. - Foto Faiz Anuar

KUALA LUMPUR: Tawaran awam awal (IPO) Eco World International Bhd (EWI) bernilai RM2.58 bilion, akan menjadi yang terbesar di Malaysia sejak Jun 2015 dengan harga tetap RM1.20 sesaham.

EWI berkata, harga IPO berkenaan ditetapkan berikutan penutupan tawaran institusi sebanyak 449.45 juta saham IPO kepada institusi Malaysia dan asing serta pelabur terpilih.

Dalam satu kenyataan semalam, syarikat itu berkata, ia baru selesai menjalankan pengundian permohonan untuk 48 juta saham IPO yang ditawar di bawah tawaran runcit kepada rakyat Malaysia.

Menurutnya, notis peruntukkan akan dihantar kepada pemohon yang berjaya pada atau sebelum 31 Mac 2017.

"Kami teruja dengan sokongan padu dan minat yang diterima daripada pelabur institusi dan runcit untuk IPO itu," kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif EWI, Datuk Teow Leong Seng.

EWI adalah syarikat awam yang melaksanakan penyenaraian di Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Bhd.

Syarikat itu merancang mengumpul kira-kira RM2.6 bilion daripada IPO itu, sebahagiannya akan diguna bagi membiayai pembangunan empat projek.

Projek itu termasuk pembangunan tiga projek kediaman di timur dan barat London; Embassy Gardens di Nine Elms, London City Island di Leamouth Peninsula, East London dan Wardian London di Canary Wharf melalui syarikat usaha sama, EcoWorld-Ballymore.

EWI juga sedang membangunkan satu projek di Australia yang dikenali sebagai West Village di Parramatta, satu daerah perniagaan utama di kawasan metropolitan Sydney. - BERNAMA

Berita Harian X