Khamis, 23 March 2017 | 12:43pm

Jangan politik keputusan kerajaan


SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Iskandar bersama Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah di Istiadat Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Johor di Istana Besar Johor. - Foto ihsan Jabatan Penerangan

JOHOR BAHRU: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar mengingatkan rakyat supaya patuh dengan peraturan dan keputusan dibuat kerajaan, bukan menjadikannya sebagai isu politik.

Sultan Ibrahim bertitah, golongan tidak bertanggungjawab yang mempertikai dan tidak mahu menghormati keputusan kerajaan hanya mementingkan diri sendiri.

Baginda bertitah, contohnya apabila kerajaan memperluaskan kawasan majlis daerah atau perbandaran, sudah pasti setiap premis atau bangunan akan dikenakan cukai harta bagi menampung kos perkhidmatan dan penyelenggaraan kemudahan awam di kawasan berkenaan.

"Malangnya, ada juga pihak yang mempertikaikan tindakan itu dan tidak mahu menghormati keputusan kerajaan, malah menjadikannya sebagai isu politik, golongan yang tidak bertanggungjawab ini hanya mementingkan diri sendiri.

"Dia boleh membayar ansuran kereta dan bil telefon setiap bulan lebih tinggi jika dibandingkan dengan bayaran cukai harta dua kali setahun. Oleh itu, saya menyeru kepada semua rakyat supaya menghargai perkhidmatan yang kerajaan berikan.

"Jangan gigit tangan yang memberi makan, setiap rakyat haruslah mengamalkan sikap sederhana, bertolak ansur dan sanggup berkongsi tanggungjawab, bukannya bersikap sombong dan hanya mementingkan diri sendiri," titah baginda.

Sultan Ibrahim berkenan menyampaikan titah pada Istiadat Ulang tahun Hari Keputeraan Rasmi Sultan Johor di Istana Besar, hari ini.

213 dibaca
Berita Harian X