Khamis, 23 March 2017 | 6:08pm

Sistem Insurans Pekerjaan dilaksana 2018

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata, kerajaan bersetuju melaksanakan Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) yang bakal dinikmati 6.5 juta pekerja tempatan dalam sektor swasta dengan jangkaan bayaran faedah boleh dibuat mulai 1 Januari 2019.

Perdana Menteri berkata, pelaksanaan SIP yang menjadi jaringan keselamatan sosial akan dibiayai melalui caruman daripada pekerja dan majikan dengan dana SIP akan ditadbir urus oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Beliau berkata, SIP bertujuan membantu golongan pekerja yang kehilangan pekerjaan untuk mendapat bantuan kewangan dan mencari pekerjaan baharu.

Sehubungan itu, katanya, satu undang-undang baharu sedang digubal dan akan dibentangkan pada sesi persidangan Parlimen, Jun depan dan dijangka dikuatkuasakan pada 1 Januari 2018, manakala bayaran faedah boleh dibuat mulai 1 Januari 2019.

"Pekerja akan mendapat bantuan saraan sementara dan mencari pekerjaan baharu melalui program perkhidmatan pekerjaan.

"Ini meliputi bantuan carian kerja, kaunseling kerjaya dan pemadanan pekerjaan. Selain itu, pekerja yang kehilangan pekerjaan akan diberikan latihan secara latihan semula atau peningkatan kemahiran bagi mempertingkatkan kebolehkerjaan mereka," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Perdana Menteri berkata, kerajaan percaya inisiatif pelaksanaan SIP itu adalah satu dasar jangka panjang yang akan memberi impak positif, khususnya kepada golongan pekerja dan majikan.

Beliau berkata, pengalaman negara lain menunjukkan SIP bertindak sebagai penstabil ekonomi dan membantu mengekalkan aktiviti ekonomi secara mapan khususnya ketika kegawatan.

"SIP juga akan menambah baik kecekapan pasaran buruh melalui pemadanan penawaran dan permintaan yang lebih efisien, seterusnya meningkatkan produktiviti dan daya saing industri," katanya.

Berita Harian X