Khamis, 23 March 2017 | 6:54pm

MAHB meterai MoU dengan Cainiao Network

KUALA LUMPUR: Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) memeterai perjanjian persefahaman (MoU) dengan Cainiao Network untuk meneroka potensi pembangunan hab e-dagang dan logistik serantau di KLIA Aeropolis.

MoU itu dimeterai sempena pelancaran Zon Perdagangan Bebas Digital yang pertama di luar China yang dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, semalam.

Menerusi MoU itu, syarikat terbabit bersetuju untuk bersama-sama meneroka penubuhan hab e-dagang dan logistik serantau bagi memenuhi keperluan dalam segmen perniagaan kepada pelanggan (B2C) dan perniagaan kepada perniagaan (B2B).

Ia selaras dengan visi Alibaba Group untuk membangunkan platform dagangan elektronik dunia bagi membolehkan perusahaan kecil dan sederhana (SME) serta usahawan muda mengambil bahagian dalam dagangan global secara mudah, saksama dan bebas.

Antara jalinan kerjasama yang dicadangkan termasuk Cainiao dan Lazada akan mengemudi anak syarikat dan rangkaian Alibaba untuk bersama MAHB bagi pembangunan hab e-penyelesaian itu.

Fasa awal dijangka bermula sebelum hujung tahun ini dan ia akan menerajui pelancaran rasmi yang dirancangkan pada hujung tahun 2019.

Pengarah Urusan MAHB, Datuk Badlisham Ghazali, berkata selain merealisasikan visi untuk menjadi peneraju global dalam mewujudkan lapangan terbang bandar, kerjasama itu juga akan terus menyokong matlamat kerajaan menjadikan Malaysia sebagai sumber utama dan hab e-penyelesaian bagi pasaran global.

"Selain itu, ia juga akan mewujudkan ekosistem bagi memacu inovasi dalam e-dagang dengan menggunakan sumber yang tersedia di KLIA Aeropolis," katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Presiden Cainiao Network, Wan Lin berkata, tujuan utama penubuhan hab e-penyelesaian itu adalah untuk menghubungkan SME kepada pasaran dunia menerusi platform lebih berkesan dan menjimatkan.

"Mereka boleh mendapat manfaat daripada kesan rangkaian itu kerana lebih ramai hab elektronik yang akan menyertai platform itu," katanya.

Info:

*KLIA Aeropolis dipilih sebagai lapangan awal bagi DFTZ.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X