Khamis, 23 March 2017 | 7:20pm

LIMA pentas terbaik hadapi cabaran pertahanan


RAJA Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail (dua dari kiri) ditemani Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan anaknda, Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail, meninjau helikopter simulator/latihan Cicare SVH-4 ketika meninjau booth pameran syarikat berpangkalan di Argentina itu sempena LIMA'17 hari ini - Foto Shahidi Shahidan

LANGKAWI: Perkembangan cabaran dihadapi sektor pertahanan khususnya dalam konteks peperangan siber menuntut industri itu lebih proaktif dalam mendepani ancaman yang semakin melalui evolusi.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Syed Putra Jamalullail, bertitah keupayaan dari segi peralatan dan aset moden tidak dapat dinafikan untuk memenuhi tuntutan terutama dalam konteks penguasaan teknologi maklumat untuk menghadapi peperangan siber.

"Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mampu memperolehi keupayaan di dalam kedua-dua aspek ini demi untuk mempertingkatkan kapasiti serta kapabilitinya untuk melaksanakan pelbagai misi serta penugasan dalam medan tempur yang serba moden dan dinamik.

"Pastinya penganjuran seumpama Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi (LIMA) dapat menyediakan platform untuk ATM menilai dan mengkaji usaha mempertingkatkan keupayaannya," titah baginda ketika berangkat mengadakan lawatan ke bahagian aeroangkasa LIMA 2017 di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) di sini, hari ini.

Baginda yang ditemani Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khaleel dan anakanda, Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail, turut meluangkan masa menyaksikan pertunjukan udara yang menjadi antara tarikan utama LIMA'17.

Mengenai LIMA edisi kali ini baginda yang juga Komander Rejimen 504 Askar Wataniah yakin temasya dwi-tahunan itu mampu membantu ATM termasuk dalam meningkatkan tahap kesedaran medan tempur.

"Perkara ini amat penting kerana ia akan memberi maklumat dan perisikan terkini serta tepat tentang keadaan sebenar medan tempur yang bakal dihadapi dalam pelaksanaan sesuatu operasi ketenteraan.

"Aset dan peralatan yang moden serta canggih akan membolehkan ATM untuk mengesan pergerakan pihak musuh dan mempertingkatkan keupayaannya untuk melaksanakan penugasan ISR & T (Intelligence, Surveillance, Reconnaissance & Targetting).

"Dalam konteks ini, aset seperti pesawat udara tanpa pemandu (UAVs), dron, radar, sistem kedudukan global (GPS) dan lain-lain, amat perlu diadakan demi memastikan kejayaan pelaksanaan sesuatu operasi atau penugasan yang dipertanggungjawabkan," katanya.

59 dibaca
Berita Harian X