Rabu, 31 Disember 2014 | 1:04pm

Kerajaan akan ambil langkah kawal defisit fiskal - Penganalisis

KUALA LUMPUR: Kerajaan dijangkakan melaksana pelbagai langkah bagi memastikan defisit fiskal negara tidak menjadi semakin buruk pada 2015 berikutan kejatuhan harga minyak mentah.

Dalam Bajet 2015, kerajaan berkata ia merancang mengurangkan defisit bajet kepada tiga peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) tahun depan.

Dalam nota kajian, RHB Research menyatakan kerajaan tidak mempunyai banyak pilihan untuk membantunya menangani penurunan harga minyak mentah.

Menurutnya, antara pilihan yang ada ialah meminta PETRONAS membayar dividen yang lebih tinggi sebanyak RM20.3 bilion (berasaskan 30 peratus penurunan harga minyak mentah), bagi membantu semasa tempoh yang sukar ini.

PETRONAS sudah mengumumkan mengenai bayaran dividen yang lebih rendah tahun depan ekoran keuntungan bersihnya pada suku ketiga berakhir 30 September 2014 susut 12.3 peratus kepada RM15 bilion berikutan harga minyak dan jualan gas asli cecair yang lemah serta tukaran mata wang asing yang tidak memihak kepadanya.

Menurut RHB Research, hasil kerajaan bagaimanapun akan meningkat berikutan impak pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) yang akan dirasakan lebih ketara pada 2016.

Kerajaan menganggarkan hasil GST bagi 2015 ialah sebanyak RM23.2 bilion. Bagaimanapun ia akan diimbangi oleh penamatan cukai jualan dan perkhidmatan sebanyak RM13.8 bilion.

Menurut RHB Research, kerajaan mungkin terlepas sasaran defisit fiskal tahun depan jika Petronas tidak membayar dividen yang tinggi.

"Kerajaan perlu berbelanja berdasarkan kemampuannya dengan menggunakan wang kecemasan dan mengurangkan perbelanjaan pembangunan sebanyak RM3 bilion.

"Namun defisit masih boleh ditingkatkan antara 3.1 peratus dan 3.2 peratus pada 2015, berdasarkan penurunan hasil minyak sebanyak 30 peratus berbanding 3.5 peratus daripada anggaran KDNK bagi 2014," katanya.

Ia berkata jika kerajaan tidak mencapai sasaran bajet defisitnya, agensi-agensi penarafan dijangka tidak menurunkan penarafan kredit Malaysia.

"Ini disebabkan defisit bajet masih dalam trend yang semakin baik," katanya.

Firma penyelidikan itu menyatakan KDNK sebenar akan berkembang lima peratus pada 2015, lebih lemah berbanding unjuran awal sebanyak 5.3 peratus serta berbanding anggaran 5.8 peratus pada 2014.

"Permintaan domestik akan mengekalkan pertumbuhan sekitar 5.3 peratus pada 2015, walaupun lebih perlahan berbanding 5.7 peratus yang dianggarkan bagi 2014, berbanding 7.4 peratus pada 2013," menurutnya.

Arjen van Dijkhuizen, ahli ekonomi kanan ABN AMRO Bank NV yang berpangkalan di Belanda, berkata kejatuhan harga minyak akan meningkatkan risiko dan menyukarkan kerajaan untuk mencapai sasaran mengurangkan defisit bajet kepada paras kurang daripada tiga peratus KDNK tahun depan.

Bank itu menjangkakan harga minyak mentah Brent akan mencatat purata AS$87.50 setong pada 2015, berbanding purata AS$100 pada 2014.

"Bagi 2015, ia adalah sesuatu yang menarik untuk melihat bagaimana Malaysia berhadapan harga minyak yang lebih rendah. Pengeluaran minyak mentah menyumbang sekitar satu perenam daripada jumlah pengeluaran dan lebih daripada 10 peratus eksport," katanya.

Beliau berkata, cabaran terbesar bagi 2015 ialah sejauh mana prestasi Malaysia dan ringgit dalam kedudukan kadar faedah yang meningkat lebih pantas daripada yang dijangkakan di AS, berdasarkan petunjuk fiskal negara yang secara relatifnya rendah serta kesan negatif harga minyak yang rendah.

"Bank Negara Malaysia perlu menaikkan kadar dasar semalamannya tahun depan," katanya.

Van Dijkhuizen berkata, peningkatan kadar faedah oleh Federal Reserve mungkin menambah tekanan ke atas ringgit, dan ini memerlukan peningkatan kadar secara berhati-hati.

Sementara itu, UBS AG, menyatakan walaupun keadaan dijangkakan buruk sebelum kembali pulih, aliran masuk minyak dan modal dijangka menjadikan ringgit lebih positif pada lewat 2015.

"Kelemahan ringgit dijangka disebabkan oleh gabungan dolar AS yang lebih kukuh serta harga minyak yang rendah selain momentum pertumbuhan yang sememangnya sudah perlahan - menunjukkan pertumbuhan lemah dan dasar kadar faedah yang rendah," menurut nota kajiannya.

Dalam persekitaran itu, UBS menyatakan dolar AS dijangkakan terus mengukuh pada 2015 ke paras euro pada 1.15 dan kitaran kredit domestik Malaysia dijangka terus matang seiring ekonomi lain Asia.

"Oleh itu, kami mengunjurkan ringgit akan kembali mengukuh, namun tidak ke paras sebelum mengalami kerugian. Kami menjangkakan dolar AS/ringgit pada paras 3.50 pada akhir 2015," katanya.

BERNAMA

Berita Harian X