Khamis, 23 March 2017 | 11:30pm

Lelaki keluar kenyataan jelik ditahan

JOHOR BAHRU: Polis menahan seorang lelaki di Baling, Kedah selepas dipercayai memuat naik kenyataan jelik terhadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar dalam laman Facebook, hari ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd, berkata pihaknya menerima laporan berhubung perkara itu hari ini dan membuka kertas siasatan bagi mengesan individu yang dipercayai melakukan kesalahan itu.


KETUA Polis Johor, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd. - Foto Mohd Azren Jamaludin

Katanya, tindakan pantas Polis Kontinjen Johor dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Kontinjen Kedah berjaya menahan lelaki itu di perkarangan Balai Polis Baling, Kedah pada jam 6.30 petang tadi.

"Turut dirampas daripada suspek ialah tiga telefon bimbit, tiga kad peranti, lima kad memori dan sebuah pena pemacu.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia dan sekiranya disabitkan kesalahan boleh didenda sehingga RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya selain boleh didenda selanjutnya bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan di sini, hari ini.

Wan Ahmad Najmuddin turut menasihatkan orang ramai supaya tidak menyalahgunakan laman sosial tanpa berfikir panjang atau bersedia menghadapi tindakan tegas pihak berkuasa.

17 dibaca
Berita Harian X