Jumaat, 24 March 2017 | 11:30am

PATI seludup minyak masak ketika diusir pulang


MENTERI Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Sabah, Datuk Jainab Ahmad Ayid. - Foto Mohd Adam Arinin

SANDAKAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) diminta bekerjasama dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi menangani penyeludupan minyak masak ke negara jiran.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan dan Hal Ehwal Pengguna Sabah, Datuk Jainab Ahmad Ayid, berkata beliau difahamkan ada pendatang asing tanpa izin (PATI) turut menyeludup minyak masak ketika diusir pulang ke negara masing-masing.

"Saya harap selepas ini KPDNKK boleh tumpukan (tindakan) ke atas orang yang menjual (barang kawalan) ke luar negara, yang sorok dan seludup ke Indonesia atau Filipina menerusi kerjasama dengan MKN.

"MKN tidak boleh ambil tindakan kerana ia di luar bidang kuasa mereka," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada program Penjualan Minyak Masak Peket 1 Kilogram di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Harmoni, Batu 3, di sini, hari ini.

Selain PPR Taman Harmoni, program itu turut dilaksanakan di PPR Taman Mesra, Batu 4 dan PPR Taman Muhibbah, Sungai Manila, dekat sini.

Program yang dilaksanakan dua minggu sekali itu bertujuan memudahkan golongan sasaran mendapat bekalan minyak masak.

Beliau turut menggesa pengguna supaya melaporkan kepada KPDNKK jika mendapati ada peniaga menjual minyak masak pada harga lebih tinggi dan tidak memiliki lesen menjual minyak masak.

Berita Harian X