Jumaat, 24 March 2017 | 3:04pm

Juruterbang Sukhoi anak Langkawi jadi tumpuan


ORANG ramai menyaksikan persembahan aerobatik pasukan yang mengambil bahagian sempena LIMA'17. - Foto Danial Saad

LANGKAWI: Sekumpulan 30 murid daripada beberapa sekolah sekitar daerah ini teruja apabila berpeluang bertemu juruterbang jet pejuang yang turut terbabit dalam pertunjukan udara sempena Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2017 (LIMA'17).

Mejar Mohd Norazan Othman, 38, yang menerbangkan pesawat Sukhoi Su-30MKM milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dianggap idola bagi semua murid terbabit, terutama selepas memukau penonton dengan aksi ala kamikaze ketika beraksi.

Kumpulan murid berkenaan tidak melepaskan peluang bergambar bersama Mohd Norazan yang ditemui sempena program 'Sembang LIMA' anjuran Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) sejurus juruterbang kelahiran Kampung Lubuk Setol di sini, selesai menyertai pertunjukan udara.

Murid Tahun Enam Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Matsirat, Azliana Sofia Zaini, 11, teruja selepas juruterbang anak tempatan itu sudi beramah mesra dan bergambar bersama mereka.

"Beliau memang hebat beraksi di udara dan saya berdebar menyaksikan jet pejuang kendaliannya melayang dan menjunam macam burung.

"Ketika berbual tadi, beliau nasihatkan kami rajin belajar supaya dapat menjadi juruterbang TUDM," katanya ketika ditemui, hari ini.

Amirah Halim, 10, dari SK Kuala Teriang di sini, teruja dapat bergambar dengan juruterbang tempatan dan luar negara sejurus dibenarkan memasuki kawasan tarmac yang menjadi tapak pameran statik pesawat yang menyertai LIMA'17.

"Hari ini impian saya melihat jet pejuang dari dekat tercapai. Bukan senang nak berjumpa juruterbang jet pejuang dan saya ambil banyak gambar untuk ditunjukkan kepada rakan apabila kembali ke sekolah," katanya.


JURUTERBANG TUDM, Mejar Mohd Norazan Othman (kiri). - Foto fail NSTP/Danial Saad

96 dibaca
Berita Harian X