Jumaat, 24 March 2017 | 3:54pm

140,000 pengunjung awam di LIMA'17


ORANG ramai tidak melepaskan peluang melihat dengan lebih dekat pesawat sempena Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2017 (LIMA'17). . - Foto Danial Saad

LANGKAWI: Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2017 (LIMA'17) dijangka mampu menarik 140,000 pengunjung awam melalui dalam dua hari terakhir bermula hari ini.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussien, berkata selain orang awam, LIMA'17 turut merekodkan peningkatan melalui 15,000 pengunjung perniagaan sejak ia dibuka 21 Mac lalu.

Beliau berkata, peningkatan ini membuktikan LIMA'17 tetap menjadi tumpuan bagi kedua-dua segmen pengunjung, sekali gus membuktikan industri ini masih bertahan dan meningkat setiap tahun.

"Walaupun berdepan cabaran dan rintangan dalam ekonomi dunia kini, ramai yang masih memberi kepercayaan terhadap pameran ini.

"Selain itu, pameran ini juga platform untuk membincangkan keupayaan hubungan kepimpinan Malaysia dalam bidang pertahanan di rantau ini," katanya ketika sidang media di sini hari ini.

Hishammuddin berkata, LIMA'17 memberi banyak manfaat kepada Malaysia bukan sahaja dari segi aset ketenteraan tetapi juga dari segi pertukaran maklumat, teknologi dan tenaga kerja mahir.

"Ini kejayaan yang wajar dibanggakan oleh semua pihak dan saya menyeru pihak yang gemar menyangkal penganjuran LIMA agar melihatnya sebagai sesuatu yang membina.

"Malah ini kali pertama kita bekerjasama dengan 10 kementerian lain dan saya menyasarkan lebih banyak kementerian akan sertai LIMA edisi berikutnya pada 2019," katanya.

25 dibaca
Berita Harian X