Jumaat, 24 March 2017 | 6:02pm

MRI buka kilang bot tempur Woonam


PENGARAH Eksekutif MRI Technologies Sdn Bhd, Mohamad Redza Mustaman (kiri) dan Kapen (B) Adzharry Jabir, ketika Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi (LIMA 2017) di Resort World, Langkawi. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

LANGKAWI: MRI Technologies Sdn Bhd (MRI) akan melabur lebih RM16 juta untuk membina kilang pemasangan tempatan (CKD) bagi bot tempur keluaran Woonam dari Korea Selatan, tahun depan.

Pengarah Eksekutifnya, Adzharry Jabir, berkata pihaknya kini adalah juga pengedar utama bot tempur Woonam bagi pasaran Asia Tenggara.

Katanya, kilang pemasangan bot tempur CKD itu bakal dibina di Sabah yang akan diuruskan sepenuhnya oleh tenaga kerja mahir tempatan.

Beliau berkata, MRI kini masih dalam proses rundingan akhir dengan pengeluar bot tempur itu, Woonam Marine Craft Co Ltd bagi membolehkan kemudahan terbaru itu dilaksanakan.

"Kilang pemasangan itu akan dibina di Sabah dan ketika ini, Woonam Marine Craft sudah memberikan kerjasama untuk mengeluarkan bot tempur CKD itu.

"Ini adalah sasaran syarikat untuk masa hadapan kerana selama ini kami hanya menjadi pengedar utama dan sudah tiba masa untuk kami maju setapak lagi untuk prospek yang lebih cerah.

"Kami juga akan patenkan bot tempur itu di Malaysia pada suku keempat tahun ini," katanya ketika ditemui di Pameran Antarabangsa Aeroangkasa dan Maritim Langkawi 2017 (LIMA'17), hari ini.

Adzharry berkata, ketika ini pihaknya memasarkan bot tempur Woonam untuk kegunaan angkatan tentera dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Selain pasaran tempatan, katanya, syarikat kini juga sedang dalam rundingan dengan agensi keselamatan Vietnam, Brunei, Fiji dan Filipina.

"Banyak negara berminat untuk menggunakan bot tempur sebegini kerana ia mudah digunakan pasukan keselamatan dalam mengawal perairan.

"Selain itu, konsep bot tempur itu tahan lama serta mempunyai kelajuan tinggi, serta sesuai digunakan oleh negara yang mempunyai perairan yang luas.

"Kami sasar tahun ini akan memeterai perjanjian dengan agensi keselamatan Vietnam dan Brunei untuk pasarkan bot tempur ini. Ini satu kejayaan bagi kami kerana dapat meluaskan perniagaan ke pasaran luar," katanya.

30 dibaca
Berita Harian X