Jumaat, 24 March 2017 | 6:16pm

3 pelajar IPTA ditahan miliki 1.2kg ganja


KETULAN mampat dipercayai ganja yang dirampas dalam serbuan di sebuah asrama IPTA di Serdang, semalam.

SERDANG: Tiga pelajar Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di sini, ditahan kerana memiliki dadah dalam satu serbuan di sebuah bilik asrama IPTA berkenaan di sini, semalam.

Dalam serbuan pada jam 10.30 pagi itu, ketiga-tiga suspek yang kesemuanya berusia 22 tahun ditahan selepas polis menemui lima paket ketulan daun kering mampat dipercayai ganja seberat 1.2 kilogram dianggarkan bernilai RM2,500 dalam bilik berkenaan.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Megat Mohd Aminuddin Megat Alias, berkata serbuan itu dilakukan selepas pihak polis menerima maklumat awam berhubung kegiatan suspek.

"Selain ganja, kami turut menemui pelbagai peralatan terdiri daripada botol yang diubah suai untuk menghisap ganja, pisau dan papan pemotong serta plastik-plastik kosong yang kami percaya digunakan untuk membungkus dadah berkenaan.

"Lima paket ketulan mampat disyaki ganja itu ditemui dalam beg plastik yang disorok dalam sebuah almari pakaian di bilik asrama berkenaan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Ditanya kemungkinan suspek mengedar dadah berkenaan secara kecil-kecilan di kawasan kampus universiti berkenaan, Megat Mohd Aminuddin berkata perkara itu masih dalam siasatan.

Beliau berkata, ujian saringan air kencing menunjukkan kesemua suspek positif ganja dan mereka direman tujuh hari sehingga 30 Mac depan bagi membantu siasatan.

"Dua daripada suspek adalah pelajar tahun akhir jurusan Sains Alam Sekitar dan jurusan Pertanian Akuakultur. Seorang lagi rakan mereka adalah pelajar jurusan Sains Haiwan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

312 dibaca
Berita Harian X