Jumaat, 24 March 2017 | 6:18pm

MTC intai peluang industri perkapalan minyak

LANGKAWI: MTC Engineering Sdn Bhd (MTC) meninjau peluang untuk meluaskan perniagaannya dalam segmen kapal pemunggahan pengeluaran dan simpanan terapung (FSPO) ke pasaran Indonesia.

Pengurus Pembangunan Perniagaannya, Muhammad Ariff Yusof, berkata pihaknya melihat pasaran Indonesia memilik potensi tinggi untuk diterokai kerana ketiadaan penyelesaian seumpama itu di negara terbabit pada masa ini.

"Kami akan mengemukakan cadangan kepada syarikat berkaitan minyak dan gas di Indonesia, namun ia di peringkat awal kerana masih mengenal pasti syarikat berpotensi di sana," katanya ketika ditemui di Pameran Antarabangsa Aeroangkasa dan Maritim Langkawi 2017 (LIMA'17), hari ini.

MTC adalah syarikat tempatan yang menjalankan perniagaan khidmat nasihat berkaitan seni bina kapal dan kejuruteraan marin, mekanikal dan kejuruteraan mekanikal, kejuruteraan awam dan struktur.

Beliau berkata, pihaknya optimis mampu menerokai pasaran di negara itu pada masa depan melalui penyelesaian pesisir luar dikenali, Humming Bird, yang akan digunakan pada kapal FSPO MTC.

Katanya, syarikat baru membeli sebuah kapal terpakai di Indonesia bagi diubah suai menjadi kapal FSPO selepas mendapat dua kontrak pemunggahan minyak daripada PETRONAS di Sarawak dan Terengganu, baru-baru ini.

"Sebelum ini, kami hanya menyewa kapal bagi perkhidmatan FSPO sebelum mengambil keputusan membeli kapal ini yang dijangka beroperasi pada separuh kedua tahun ini," katanya.

Pada masa sama, MTC mengadakan rundingan untuk membekalkan kapal platform asas kepada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bagi operasi pemantauan di timur Sabah.

"Kami berharap idea dan reka bina kami bagi model ini akan mendapat perhatian pihak terbabit, namun ia masih terlalu awal untuk diumumkan kerana tiada sebarang keputusan dimuktamadkan pada masa ini," katanya. 

27 dibaca
Berita Harian X