Jumaat, 24 March 2017 | 6:45pm

Penerbangan ihsan hantar pengunjung LIMA cedera ke Perlis


PENERBANGAN ihsan APMM untuk membawa dua pesakit dari Hospital Langkawi ke Hospital Tuanku Fauziah di Kangar, Perlis. - Foto Hamzah Osman

LANGKAWI: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) hari ini melakukan penerbangan ihsan untuk membawa dua wanita yang tercedera mendapatkan rawatan ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di Kangar, Perlis.

Pesakit terbabit, Rosilawati Abdul Rahim, 37 dan Mariam Mokhtar, 49, diterbangkan khas dari Hospital Langkawi (HL) di sini jam 5.35 petang ke padang kawad Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Kuala Perlis dengan menggunakan helikopter Agusta Westland AW139.

Difahamkan Rosilawati patah tulang rusuk, manakala Mariam mengalami retak pinggang ketika cuba mendaki tangga ke terminal penumpang sejurus tiba di jeti Kuah, dua hari lalu bagi menyaksikan LIMA'17.

Seorang ahli keluarga yang enggan disiarkan namanya, berkata kedua-dua wanita itu sedang mendaki tangga untuk naik ke terminal penumpang di Jeti Kuah apabila seorang daripadanya gagal mengawal imbangan badan dan berpaut pada rakannya sebelum kedua-duanya terjatuh.

"Akibat kejadian itu, Rosilawati patah tulang rusuk, manakala Mariam mengalami retak pinggang dan dirawat di HL selama dua hari," katanya.

Sejurus tiba di Kuala Perlis, Mariam akan dimasukkan ke HTF untuk menerima rawatan lanjut, manakala Rosilawati akan diberi rawatan sebagai pesakit luar sebelum dihantar pulang ke rumahnya.

31 dibaca
Berita Harian X