Rabu, 31 Disember 2014 | 4:19pm

Luciano Vietto calon penyerang baharu Liverpool

LONDON: Liverpool merancang untuk mendapatkan khidmat penyerang Villarreal, Luciano Vietto untuk Jendela Perpindahan Januari ini, menurut The Mirror.

Namun, The Reds dijangka menerima saingan sengit ketika gergasi Sepanyol, Real Madrid dan Inter Milan juga berminat memancing penyerang itu.

Pemain berusia 21 tahun itu menyertai La Liga awal musim panas ini daripada kelab Argentina, Racing Club.

Dalam musim pertama di Sepanyol dia menjaringkan 10 gol daripada 21 kemunculan dalam semua kejohanan.

Prestasi Vietto dan gaya permainannya dikatakan mirip kelibat bintang Manchester City, Sergio Aguero.

Ketika ini barisan penyerang utama milik pengurus pasukan, Brendan Rodgers adalah Mario Balotelli, Rickie Lambert, Fabio Borini dan Daniel Sturridge.

Sturridge tidak beraksi sejak Ogos lalu gara-gara kecederaan berpanjangan dan ketiadaannya menyentap cabaran Liverpool.

Rodgers difahamkan cenderung mendapatkan khidmat Vietto untuk mengisi kekosongan ditinggalkan Luis Suarez yang kini beraksi untuk Barcelona. - The Mirror

Berita Harian X