Jumaat, 24 March 2017 | 11:21pm

Saham AS dibuka tinggi

NEW YORK: Saham Amerika Syarikat (AS) dibuka tinggi pada awal dagangan hari ini didorong oleh peningkatan harga minyak.

Ia juga disokong oleh undian rang undang-undang penjagaan kesihatan yang akan menjadi ujian bagi Presiden Donald Trump untuk mendapatkan kelulusan Kongres.

Wall Street dibuka tinggi berikutan peningkatan dalam saham teknologi dan indeks purata industri Dow Jones meningkat 41.77 mata atau 0.2 peratus kepada 20,698.35.

S&P 500 menokok 4.52 mata atau 0.19 peratus kepada 2,350.48 dan indeks komposit Nasdaq naik 21.86 mata atau 0.38 peratus kepada 5,839.55.

Bagaimanapun, sehingga petang Khamis, masih tidak jelas sama ada Trump dan pemimpin Republikan mempunyai sokongan yang cukup untuk memastikan rang undang-undang itu lulus.

Trump juga memberi amaran kepada pembuat dasar daripada partinya bahawa beliau akan menghentikan usaha memansuhkan Obamacare jika mereka tidak menyokongnya.

Pelabur bimbang kegagalan untuk meluluskan rang undang-undang itu boleh memberi kesan kepada janji Trump yang lain iaitu pengurangan cukai dan pelan rangsangan ekonomi.

Selasa lalu, Wall Street mencatat kerugian terburuk dalam tempoh sehari sejak pilihan raya Presiden As disebabkan kebimbangan berkenaan.

Dow dan S&P 500 kini berada pada landasan untuk mencatatkan penurunan pertama sejak Oktober.

Ketua Strategi Pasaran di Wunderlich Securities New York, Art Hogan, berkata penangguhan itu agak mengecewakan tetapi rang undang-undang itu masih belum gagal.

"Malangnya, kami akan berhadapan dengan sedikit gangguan dan ia akan melanjutkan masa untuk pembaharuan cukai walaupun kami masih mempunyai rangka kerja pembaharuan cukai itu menjelang Oktober ini," katanya. - Reuters

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X