Sabtu, 25 March 2017 | 10:44am

Kit Siang cari kerusi baharu PRU-14

AHLI Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang beramah mesra dengan penduduk di Kangkar Pulai, Johor Bahru. - Foto Zulkarnain Ahmad Tajuddin

JOHOR BAHRU: Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang, tidak menolak kemungkinan mencari kawasan 'baharu' untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) akan datang.

Katanya, walaupun Parlimen Gelang Patah menjadi keutamaannya, jika ada permintaan atas faktor strategik kemenangan parti, beliau akan memikirkan perkara berkenaan.

Kit Siang yang juga Ketua Parlimen DAP, berkata beliau turut menerima tawaran daripada kepemimpinan DAP Kedah, semalam untuk bertanding di negeri itu pada PRU-14.

"Malah sebelum ini, timbul banyak spekulasi kononnya saya akan bertanding di Melaka, Pulau Pinang dan Parlimen Bentong (Pahang).

"Selain itu, turut berlegar dalam pemikiran saya sama ada mahu bersara sepenuhnya daripada politik memandangkan sudah 51 tahun dalam (politik) dan saya kini berusia 76 tahun.

Kit Siang berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke Kangkar Pulai di sini, hari ini.

Ketika ditanya pemberita mengenai aduan penduduk Parlimen Gelang Patah bahawa beliau jarang turun kawasan, Kit Siang menolak dakwaan itu.

"Saudara (pemberita) seharusnya membuat tinjauan terlebih dahulu, siapa cakap saya tidak turun kawasan dan berapa ramai yang cakap begitu," katanya.

Berita Harian X