Sabtu, 25 March 2017 | 1:31pm

Berita palsu burukkan Tahun Melawat Pahang 2017

ROMPIN: Polis mengesan cubaan menjejaskan kempen Tahun Melawat Pahang 2017 (TMP2017) menerusi penyebaran berita palsu mengenai gangguan seksual ke atas pelancong wanita di Pulau Tioman, dekat sini.

Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Azli Mohd Noor, menegaskan berita mengenai pemandu bot pelancongan di pulau peranginan itu adalah tidak benar.

"Kita akan ambil tindakan segera terhadap individu yang menyebarkan berita palsu ini kerana ia menyebabkan ekonomi pelancongan di negeri ini terjejas," katanya dalam satu kenyataan media, di sini, hari ini.

Azli berkata, pihak tak bertanggungjawab itu boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, atas kesalahan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

Beliau mengulas penyebaran berita palsu di media sosial, baru-baru ini, mendakwa pelancong wanita ke Pulau Tioman berdepan gangguan seksual dan ia disaksikan sendiri penyebar berita berkenaan.

Pemandu bot itu didakwa menggunakan minyak dagu, yang dimasukkan dalam krim perlindungan matahari untuk memukau dan kemudiannya merogol pelancong wanita terbabit.

199 dibaca
Berita Harian X