Sabtu, 25 March 2017 | 4:42pm

Spiderman datang LIMA'17


LELAKI berkostum Spiderman, Mohd Fauzan Hazri, mencuri tumpuan ketika muncul sempena LIMA'17 di sini, hari ini - Foto Alzahrin Alias

LANGKAWI: Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2017 (LIMA'17) hari ini menerima kejutan dengan kemunculan unik lelaki lengkap berkostum adiwira 'Spiderman'.

Kehadiran Spiderman ke Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) itu mencuri tumpuan pengunjung sehingga ramai antara mereka khususnya kanak-kanak, tidak melepaskan peluang untuk bergambar kenangan dengan adiwira itu.

Lelaki di sebalik kostum itu, Mohd Fauzan Hazri, 30, mengakui keadaan cuaca panas tidak menghalangnya mengenakan kostum adiwira berkenaan demi memeriahkan pameran LIMA'17.

"Saya datang ke LIMA'17 untuk lihat pameran, namun pada masa sama saya mahu tambah kemeriahan penganjuran dengan penampilan saya dalam bentuk adiwira.

"Saya cukup seronok apabila ke mana sahaja pergi sebaik tiba kira-kira jam 10 pagi tadi, pasti ada yang ingin bergambar... walaupun tak sempat tinjau pameran sebab layan peminat, saya tetap seronok," katanya yang bekerja di pulau pelancongan ini.

Mohd Fauzan ketika ditanya mengakui meminati adiwira dan turut mengumpul pelbagai kostum lain seperti Ironman, Captain America dan Batman.

"Kebanyakan kostum adiwira saya beli 'online' (atas talian) dan ada juga yang dijahit sendiri... minat ini dah lama, cuma di Langkawi tak ramai yang kongsi minat seperti ini.

"Sebab itu saya datang berpakaian Spiderman untuk beritahu di Langkawi juga ada peminat adiwira... sekurang-kurangnya selain dapat menghiburkan pengunjung, dapat juga mencari kenalan baharu," katanya.

48 dibaca
Berita Harian X