Sabtu, 25 March 2017 | 4:58pm

2 kali nyaris terhempas


JURUTERBANG pesawat tempur Sukhoi SU-30MKM Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Mejar Mohd Norazan Othman (kanan) beramah mesra dengan pengunjung orang kelainan upaya (OKU) Amirul Farid Najudin, 34, selepas membuat aksi aerobatik sempena Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2017 (LIMA'17). - Foto Danial Saad

LANGKAWI: Pengalamannya dua kali nyaris terhempas ketika mengendalikan pesawat Sukhoi Su-30MKM tidak pernah menggentarkan hati Mejar Mohd Norazan Othman.

Sebaliknya, juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) kelahiran Kampung Lubuk Setol, di sini, tetap tegar memastikan setiap aksi terbaik ketika meluncur di udara, terutama sempena Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2017 (LIMA'17).

Ketika ditemui, beliau mengakui bukan mudah untuk menjadi juruterbang, apatah lagi jika terpaksa mengendalikan jet pejuang dilengkapi pelbagai senjata canggih, namun kesukaran itu dianggap sebagai cabaran.

Walaupun sudah 20 tahun menjadi juruterbang dan kerap menerbangkan pesawat, Mohd Norazan mengakui perasaannya tetap gusar setiap kali berada di udara.

"Apabila bawa pesawat, ia berbeza dengan tugas biasa dan untuk pertunjukan, namun masing-masing ada risiko tersendiri.

"Saya sendiri pernah dua kali mengalami situasi berisiko untuk pesawat terhempas termasuk ketika LIMA edisi lalu apabila pesawat tersasar jarak ketinggian menyebabkan ia berada lebih rendah dari paras bukit di Langkawi.

"Ketika itu saya sudah sedia menarik butang kecemasan, tetapi nasib masih menyebelahi saya disebabkan pengalaman dimiliki dan saya berjaya membawa naik pesawat untuk mengelaknya terhempas," katanya.

Satu lagi insiden, katanya dia pernah pengsan selama beberapa saat disebabkan tekanan-G kuat menyebabkan pesawat menjunam, namun sempat tersedar dan dapat mengawal kembali pesawat.

Ditanya mengenai pembabitannya sebagai juruterbang TUDM, Norazan berkata sejak kecil dia memang meminati bidang penerbangan dan ketika edisi pertama LIMA 1991, dia mengunjungi tapak pameran setiap hari.

"Dari situlah bermula minat yang lebih mendalam dalam bidang penerbangan dan memasang impian suatu hari nanti saya juga mahu membuat pertunjukan udara di LIMA," katanya.

129 dibaca
Berita Harian X