Rabu, 31 Disember 2014 | 5:57pm

Mahkamah tolak saman 130 pemilik tanah lot terhadap kerajaan Selangor

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak dengan kos saman difailkan 130 pemilik tanah lot bagi Projek Perumahan Desa Kerayong Indah di Kuala Selangor terhadap kerajaan negeri Selangor dan dua lain yang didakwa gagal menyiapkan projek itu.

Hakim Datuk Wan Afrah Wan Ibrahim dalam penghakimannya berkata selepas meneliti hujahan dan fakta yang dikemukakan, mahkamah mendapati kerajaan negeri Selangor selaku defendan pertama dan Pejabat Tanah Daerah Kuala Selangor sebagai defendan kedua bukan pihak dalam perjanjian projek itu.

Katanya, sementara tindakan saman yang diambil plaintif terhadap pemaju projek perumahan itu, Bumi Circle Sdn Bhd, sebagai defendan ketiga, melebihi had masa dan mahkamah berpendapat tuntutan itu dihalang oleh had masa.

Beliau mengarahkan plaintif membayar kos RM15,000 masing-masing kepada kerajaan negeri Selangor dan Pejabat Tanah dan Daerah Kuala Selangor dan RM7,000 kepada defendan ketiga.

Dalam prosiding hari ini, kesemua 130 plaintif diwakili peguam Wan Shahrizal Wan Laden manakala kerajaan negeri Selangor diwakili Penolong Penasihat Undang-undang Selangor, Mohamad Mustaffa P Kunyalam.

Pada April 2007, kesemua plaintif itu memfailkan saman terhadap ketiga-tiga defendan, menuntut pembayaran ganti rugi khas RM3.9 juta dan ganti rugi am RM10.1 juta kerana gagal menyiapkan projek perumahan itu yang sepatutnya disiapkan pada tahun 2005.

Mereka mendakwa tapak tanah dalam bentuk tanah lot bagi projek perumahan itu diberi oleh kerajaan Selangor kepada Bumi Circle yang dilantik sebagai pemaju pada tahun 1998 untuk dibangunkan sebagai rumah atau kedai.

Bagaimanapun, kata mereka, projek yang dirancang untuk dibina di tanah seluas 86 hektar itu gagal disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan walaupun wang pendahuluan sebanyak 10 peratus daripada harga rumah serta yuran guaman bagi urusan perjanjian jual beli sudah dibuat.

- BERNAMA

Berita Harian X