Ahad, 26 March 2017 | 2:14pm

Kim Swee sedia bantu Gomez

KETUA Jurulatih skuad kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee. - Foto Mohd Fadli Hamzah
KETUA Jurulatih skuad kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee. - Foto Mohd Fadli Hamzah

KUALA LUMPUR: Ketua Jurulatih skuad kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee, kembali mengendali skuad muda negara, sedia bekerjasama dengan pengendali baharu Harimau Malaysia, Mario Gomez.

Kim Swee yang sebelum ini pernah membimbing skuad Harimau Muda A menjuarai Sukan SEA 2011 dan Pestabola Merdeka 2013 berkata, dia menerima baik keputusan Presiden baharu Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, yang melantik Gomez bagi mengendali skuad kebangsaan.

"Perancangan ini sudah dibuat sebelum kongres lagi. Jadi, ia tidak terlalu mengejutkan saya," katanya mengulas pengumuman Tunku Ismail berkaitan perubahan struktur kejurulatihan skuad kebangsaan selepas Kongres FAM ke-53.

Kim Swee berkata, beliau juga akan berkongsi dengan Gomez maklumat yang dikumpulkannya sepanjang bergelar jurulatih pasukan kebangsaan itu.

Pada sidang media selepas kongres semalam, Tunku Ismail mengumumkan pelantikan bekas pengendali skuad Johor Darul Ta'zim (JDT), Gomez sebagai pengendali baharu Harimau Malaysia, manakala Kim Swee akan mengendalikan skuad bawah 22 negara.

Antara kejohanan utama yang menanti skuad muda negara tahun ini ialah pusingan kelayakan bawah 23 tahun AFC di Bangkok pada Julai diikuti Sukan SEA bulan berikutnya.

Berita Harian X