Ahad, 26 March 2017 | 2:43pm

Aiman Tino mahu hadiah kediaman untuk ibu bapa

PENYANYI Aiman Tino. - Foto Rosdan Wahid

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Aiman Tino, mengimpikan memiliki kediaman lebih selesa untuk keluarga besarnya hasil daripada pendapatan nyanyian.

Aiman, 19, berkata, hasrat itu sudah disimpan sejak mula terbabit dalam bidang seni suara. Dia mahu mahligai baharu itu kelak menjadi hadiah terhadap pengorbanan ibu bapanya.

"Setiap orang ada impian. Tentu saja antara keinginan saya adalah membahagiakan emak dan ayah. Keluarga kami besar, saya ada 10 adik beradik.

"Jadi, kalau boleh, saya mahu semua ahli keluarga rasa lebih selesa tinggal di kediaman yang besar daripada rumah sekarang. Apapun, itu cuma impian kerana saya perlu mencukupkan wang simpanan," katanya kepada BH Online.

Aiman yang popular dengan lagu Ku Rela Dibenci, bagaimanapun belum menetapkan lokasi rumah baharunya itu. Dia menyerahkan kepada ibu bapa untuk membuat pilihan.

"Jika hajat itu direalisasikan suatu hari nanti, keluarga saya mungkin akan tinggal di sekitar Kuala Kubu Bharu. Ini kerana kami sudah lama di sana.

"Lagipun restoran ibu bapa saya beroperasi di situ. Apa pun, ia sekadar perancangan. Doakan saja semoga impian ini dimakbulkanNya," akui Aiman atau nama penuhnya, Muhammad Aiman Yusri itu.

Aiman yang mencipta populariti apabila video muzik Ku Rela Dibenci yang dimuat naik di laman YouTube mencecah lebih 33 juta tontonan, sekarang menjadi rebutan penganjur atau promoter acara.

Terbaharu, Aiman yang menjadi rakan strategik kepada produk kecantikan dan penjagaan wajah di bawah jenama Sweet Aiman menerima kereta mewah Audi R8 bernilai kira-kira RM1 juta.

Berita Harian X