Ahad, 26 March 2017 | 2:45pm

38 projek Duta Jauhar dilaksana tahun ini


MENTERI Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh (tengah) diiringi Exco Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan Johor, Datuk Ayub Rahmat dan Pengurus Besar Yayasan Pelajaran Johor (YPJ), Ab Wahab Ridwan bergambar dengan penerima anugerah ketika majlis pengiktiran Kongres Duta Jauhar 3.0 di Dewan Utama UniKL Mitec, Bandar Seri Alam, Pasir Gudang. - Foto Hairul Anuar Rahim

PASIR GUDANG: Pelaksanaan Program Duta Jauhar bagi meningkatkan sosio-ekonomi rakyat menerusi penyertaan  siswa diteruskan tahun ini membabitkan 30 universiti awam dan swasta serta politeknik.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan Johor, Datuk Ayub Rahmat, berkata Duta Jauhar 4.0 akan membabitkan 570 pelajar Johor menerusi pelaksanaan 38 projek yang memberi impak kepada masyarakat setempat.

Katanya, berdasarkan rekod, program Duta Jauhar yang diperkenalkan sejak 2014 meningkat setiap tahun dengan pelbagai cetusan idea menarik diketengahkan peserta.

"Pada tahun ini, buat pertama kali peserta dari Politeknik terbabit dalam program Duta Jauhar. Bagi tempoh empat tahun iaitu 2014 hingga 2017, seramai 1,605 siswa dan siswi Johor daripada 33 universiti awam dan swasta terbabit dalam program Duta Jauhar," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Kongres Duta Jauhar 3.0 di Universiti Kuala Lumpur (UniKL) MITEC di Bandar Seri Alam, dekat sini hari ini.

Program itu dilancarkan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh. Yang hadir sama, Pengerusi UniKL, Datuk Seri Dr Adham Baba dan Presidennya, Datuk Prof Dr Mazliham Mohd Su'ud.

Ayub berkata, program Duta Jauhar yang diseliakan oleh Yayasan Pelajaran Johor (YPJ) akan melaksanakan beberapa usaha bagi menambah baik program berkenaan tahun ini.

Beliau berkata, ia termasuk menjalin kerjasama dengan Bank Islam Bhd untuk mewujudkan akaun semasa untuk setiap kumpulan bagi memastikan pengurusan kewangan lebih baik.

Katanya, peserta program akan diberikan pendedahan sehingga peringkat antarabangsa menerusi program atau aktiviti berkaitan.

"Penambahbaikan program termasuk menubuhkan Koperasi Alumni Duta Jauhar, sebagai platform kepada alumni untuk menjalankan aktiviti mereka.

"Kita juga akan memperluaskan pelaksanaan projek berkenaan, yang mana Duta Jauhar boleh memberi khidmat nasihat dan membangunkan projek yang dilaksanakan sebelum ini seperti tanaman cili, cendawan dan ternakan ikan," katanya.

18 dibaca
Berita Harian X