Ahad, 26 March 2017 | 6:51pm

Malaysia berpotensi jadi hab penyelenggaraan Airbus


Pierre Jaffre. - Foto Rosela Ismail

LANGKAWI: Airbus, syarikat aeroangkasa global, sedang mempertimbangkan cadangan untuk menjadikan Malaysia sebagai hab bagi perkhidmatan penyelenggaraan bagi siri pesawat A400M di Asia Tenggara.  

Presiden Airbus Asia Pasifik, Pierre Jaffre, berkata syarikat itu melihat Malaysia sebagai pasaran yang strategik bagi perluasan perniagaan syarikat itu di rantau Asia Pasifik, di samping China dan India. 

"Malaysia adalah pelanggan pertama eksport kami di luar Eropah dan kami melihat keupayaan negara ini menjadi hab melalui kemudahan di Subang yang boleh dipertingkatkan lagi pada masa depan," katanya pada sidang media di Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2017 (LIMA'17) di sini.

Beliau berkata, Malaysia memiliki pasaran kukuh yang mana syarikat terbabit memperuntukkan RM1.77 bilion (AS$400 juta) setiap tahun dan menyasarkan peningkatan peruntukan 25 peratus dalam tempoh lima tahun akan datang.

"Malaysia sentiasa dalam perhatian kami kerana ia adalah pembekal kepada pelbagai komponen siri pesawat kami dan pada masa sama, kami mewujudkan syarikat dalam segmen helikopter di sini," katanya. 

Pierre berkata, kerjasama syarikat dengan Malaysia dan pihak berkuasa seperti Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Kementerian Pertahanan menjadi pemangkin untuk mempromosikan pesawat A400M di Asia Tenggara pada masa depan.  

"Kami menjangkakan pasaran di negara ini terus berkembang dan permintaan untuk pesawat komersial direalisasikan dalam tempoh 20 tahun akan datang," katanya.   

Mengulas potensi negara menjadi hab penyelenggaraan bagi pesawat A400M, Ketua Pesawat Ketenteraan Pertahanan dan Angkasa Airbus, Fernando Alonso, berkata Malaysia memiliki prospek cerah untuk dipilih menjadi hab itu melalui kehadiran syarikat di sini sebelum ini.  

"Saya tidak akan memberi komen apa-apa mengenai perkara ini, namun kami kini memiliki anak syarikat di Malaysia iaitu Sepang Aircraft Engineering Sdn Bhd. Ia adalah satu penghormatan jika ia menjadi kenyataan nanti," katanya. 

LIMA'17 menyaksikan Airbus menyerahkan unit pesawat keempat dan terakhir bagi A400M kepada TUDM.

94 dibaca
Berita Harian X