Ahad, 26 March 2017 | 7:55pm

ALAF sasar tembusi pasaran ASEAN


Al Wirdhan menunjukkan pesawat simulator ketika ditemui sempena LIMA'17 di Langkawi. - Foto Danial Saad

LANGKAWI: Alaf Research and Technology (ALAF) sedang meninjau peluang memasarkan pesawat tanpa pemandu (UAV) atau turut dikenali sebagai robot terbang ke pasaran ASEAN.

Pengurus Program Alaf, Al Wirdhan Al Jafrey, berkata produk hasil kerjasama dengan DEA General Aviation China (DEA) itu adalah yang pertama seumpamanya di rantau ini.

Katanya, antara program kerjasamanya bersama DEA adalah bagi membangunkan teknologi UAV, berkongsi kemahiran dan rangkaian pemasaran.

"Ini termasuk melebarkan rangkaian dengan syarikat komersial di dalam Negara dan luar Negara. Pasukan kami juga sudah dihantar ke China untuk memberikan maklumat dan latihan kepada DEA.

"Kerjasama ini diharap dapat merealisasikan impian kedua-dua syarikat sebagai antara teraju utama industri UAV," katanya ketika ditemui di Pameran Antarabangsa Aeroangkasa dan Maritim Langkawi 2017 (LIMA'17).

Al Wirdhan berkata, pihaknya kini dalam perbincangan akhir dengan Brunei, Indonesia, Thailand dan Filipina bagi memasarkan produk UAV.

Katanya, antara produk UAV yang mendapat permintaan adalah untuk tujuan dalam pertanian sebagai penyembur racun serangga dan anak benih.

"Kami juga yakin produk UAV ini bakal mendapat kerjasama agensi pertahanan Malaysia dan sempena LIMA'17 kami juga mendapat maklum balas yang positif.

"UAV boleh digunakan untuk memantau perairan negara, selain ia mampu menjimatkan kos berbanding menggunakan helikopter. Ia juga ringan dan mudah dibawa ke lokasi.

"Ia tidak memerlukan pemanduan, hanya dikawal dari jauh dan mampu terbang hingga 200 kilometer," katanya.

Al Wirdhan berkata, pihaknya turut mendapat permintaan daripada Kementerian Belia dan Sukan bagi menggunakan produk belon Aerostart untuk digunakan ketika Sukan SEA di Kuala Lumpur nanti.

Katanya, belon Aerostart berkeupayaan untuk pemantauan keselamatan bagi menggantikan kamera litar tertutup (CCTV), yang boleh dinaikkan setinggi bangunan lima tingkat dan mempunyai 12 kamera pemantauan.

"Ia boleh digunakan di dalam dan luar dewan, selain mempunyai ketahanan habuk dan air. Setiap kali dinaikkan, belon yang digunakan mampu bertahan selama tujuh hari," katanya.

Beliau berkata, ketika ini pihaknya masih dalam perbincangan lanjut dengan pihak kementerian bagi kemungkinan menggunakan alat itu.

41 dibaca
Berita Harian X