Ahad, 26 March 2017 | 8:52pm

46,552 unit RMR1M diluluskan SPNB sejak 2002


Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Syarikat Perumahan Negara Berhad, Datuk Ahmad Azizi Ali. - Foto NSTP/Ahmad Irham Mohd Noor

CHUKAI: Syarikat Perumahan Negara Bhd (SPNB) sudah meluluskan sebanyak 46,552 unit Rumah Mesra Rakyat 1Malaysia (RMR1M) di seluruh negara dari tahun 2002 hingga Februari lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SPNB, Datuk Ahmad Azizi Ali, berkata dalam tempoh itu juga sebanyak 86,327 permohonan telah diterima dan sebanyak 28,268 ditolak manakala sebanyak 11,507 permohonan masih dalam senarai menunggu.

"Sepanjang tempoh itu juga sebanyak 37,315 unit telah disiapkan, 7,595 unit masih dalam proses pembinaan dan 1,642 dalam peringkat dokumen perjanjian," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Katanya, bagi negeri Terengganu sebanyak 11,048 permohonan telah diterima dengan 6,513 permohonan telah diluluskan dan 5,456 unit rumah telah siap dibina.

Sebanyak 1,034 unit lagi dalam peringkat pembinaan dan 23 lagi sedang dalam proses perjanjian.

Semalam, sebanyak 123 pemohon telah berjaya menerima Sijil Kelayakan Subsidi Pembinaan dengan menjadikan jumlah keseluruhan subsidi yang ditanggung kerajaan sebanyak RM3.9 juta membabitkan kawasan Parlimen Kemaman.

Setiap pemohon yang layak akan menerima subsidi pembinaan berjumlah RM20,000 dan dua peratus subsidi kadar kaedah pinjaman berjumlah RM11,840 menjadikan jumlah keseluruhan subsidi bernilai RM31,840 seunit. - BERNAMA

43 dibaca
Berita Harian X