Isnin, 27 March 2017 | 10:17am

Ancaman taufan, Australia pindahkan penduduk

ANGGOTA polis mengarahkan penduduk meninggalkan kediaman mereka di pesisir pantai yang dijangka menjadi laluan puting beliung kuat, hari ini. - Foto EPA
ANGGOTA polis mengarahkan penduduk meninggalkan kediaman mereka di pesisir pantai yang dijangka menjadi laluan puting beliung kuat, hari ini. - Foto EPA

SYDNEY: Ribuan penduduk Australia digesa meninggalkan kediaman mereka di pesisir pantai yang dijangka menjadi laluan puting beliung kuat hari ini, ketika ribut itu melanda timur laut negara berkenaan.

Biro Kaji Cuaca Australia berkata, puting beliung Debbie diramalkan semakin kuat dan menjadi ribut kategori empat dengan membawa angin sehingga 300 kilometer sejam, sebelum mendarat di Queensland awal pagi esok.

Ketua Menteri, Annastacia Palaszczuk, memberi amaran ia adalah ribut paling berkuasa melanda negara itu sejak puting beliung Yasi pada 2011 yang memusnahkan rumah, menghancurkan tanaman dan meranapkan beberapa pusat peranginan.

Jurucakap pelabuhan, Fiona Cunningham, berkata terminal arang batu Abbot dan beberapa pelabuhan di Mackay dan Hay Point ditutup sehingga diberitahu kelak.

Arahan pemindahan sudah dikeluarkan di beberapa kawasan rendah berhampiran Townsville, sementara pihak berkuasa menyarankan beribu-ribu penduduk di selatan supaya turut berpindah. - AP

Berita Harian X