Isnin, 27 March 2017 | 1:27pm

PAMB penaja terbaharu KL 2017


KHAIRY menerima cenderamata yang disampaikan Ketua Pegawai Eksekutif PAMB, Gan Leong Hin selepas menyaksikan penyerahan plak penajaan oleh PAMB kepada KL2017 di Putrajaya. Turut sama Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk M Saravanan (kiri). - Foto Fariz Iswadi Ismail

PUTRAJAYA: Jumlah tajaan untuk Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL 2017) terus meningkat dan dijangka mampu memenuhi sasaran diletakkan sebelum temasya dwitahunan itu membuka tirainya, Ogos depan.

Prudential Assurance Malaysia Berhad (PAMB) muncul penaja terbaru selaku Rakan Penaja Perak - kategori penajaan antara RM1 juta sehingga RM3 juta - dan syarikat itu juga menyediakan skim perlindungan insurans kepada sukarelawan KL 2017.

PAMB juga akan memberi perlindungan kepada peserta larian baton di Kuala Lumpur nanti.

Susulan kerjasama baharu daripada PAMB itu, jumlah tajaan KL 2017 dan Para ASEAN kini sudah mencapai 87 peratus daripada sasaran sebenar RM80 juta.

"Setakat ini, sudah hampir RM70 juta dan sasaran kita ialah RM80 juta. Kita sudah 87 peratus daripada sasaran," kata Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar kepada media selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan PAMB di sini, hari ini.

"Saya gembira kerana penajaan sudah hampir mencapai 90 peratus dan dalam keadaan ekonomi (ketika ini) sudah tentu ia bukan sesuatu yang mudah.

"Kami masih ada baki lebih kurang RM10 juta lagi (melengkapkan sasaran tajaan), jadi diharap akan ada yang tampil membantu," kata Khairy.


MENTERI Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berucap pada majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan PAMB di Putrajaya, hari ini. - Foto Fariz Iswadi Ismail

391 dibaca
Berita Harian X